BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya melaksanakan Kursus TVET-Professional Educators Enhancement Programme (PEEP): Skill development in the time of Covid-19 secara dalam talian melibatkan penyertaan peserta dari lapan negara.
Kursus yang berlangsung pada 1 hingga 5 Ogos 2022 tersebut diselaraskan oleh Pusat Pembelajaran Berterusan dan APEL (PPBA) di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (PKTM) dan dibiayai oleh Kementerian Luar Negeri.
Pelaksanaan kursus ini membolehkan Malaysia berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam bidang Pendidik TVET bersama negara luar.
Seramai 13 peserta dari negara Iran, Laos, Brunei Darussalam, Ecuador, Filipina, Jordan, Bhutan dan Kemboja telah menyertai kursus yang melibatkan aktiviti dalam talian secara interaktif, selain kelas, perbincangan berkumpulan dan pembentangan.
Mereka bertindak sebagai pengantara dan duta kecil untuk negara mereka bagi membincangkan dan berkongsi pengalaman berkaitan pembangunan kemahiran isu pendidik TVET.
Inisistif ini amat bertepatan kerana Malaysia merupakan antara negara yang menekankan hubungan dua hala bagi mengukuh dan memperkasakan hubungan baik dalam menstabilkan ekonomi, politik dan masyarakat di rantau ini.
Penganjuran kursus selama lima hari ini merupakan salah satu cara kerajaan Malaysia mengeratkan hubungan antara negara terbabit.
Wacana intelektual daripada program ini dijangka akan menghasilkan kerjasama pada masa hadapan antara kerajaan, universiti, institusi penyelidikan dan industri di peringkat antarabangsa.
Program ini telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Pendidikan Teknik dan Vokasional (FPTV), Profesor Madya Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq.
Turut hadir ke majlis perasmian, wakil rasmi Kementerian Luar Negeri (KLN) Malaysia, Mogen Selvaraja manakala pada sesi penutup pula dihadiri oleh Pengarah PPBA UTHM, Profesor Madya Ts. Dr. Musli Mohammad.
Kursus ini turut dijayakan oleh jurulatih dari Pusat Penyelidikan-Sustainable Professional Education for Excellent Development?(SPEED), FPTV iaitu Profesor Madya Ts. Dr. Mimi Mohaffyza Mohamad, Profesor Madya Ts. Dr. Badaruddin Ibrahim, Ts. Dr. D’oria Islamiah Rosli, Ts. Dr. Tee Tze Kiong, Ts. Dr. Yee Mei Heong, Dr. Nur Sofurah Mohd Faiz dan Dr. Nurul Hidayah Liew Abdullah.
Dr. Musli mewakili PPBA merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini sama ada secara langsung atau tidak.
“Semoga program ini dapat diteruskan dan membudayakan pembelajaran sepanjang hayat yang boleh diaplikasikan pada masa hadapan,” katanya.