GURU…Siapakah guru? Apakah tugas guru? Adakah guru mesti menjadi lilin sepanjang masa membakar diri demi menerangi orang lain? 

Tugas guru masa kini sudah berubah sama sekali. Bukan lagi seperti suatu masa dahulu yang hanya fokus kepada sesi pengajaran dan pembelajaran. Tambahan lagi ketika Covid-19 membelenggu dunia, tugas guru kian mencabar. Ada yang turut menyamakan profesion seorang guru sebagai salah satu daripada barisan hadapan.

Walau mencabar walau semakin berat, namun guru terus menggalas tanggungjawab diberikan tanpa lelah. Pernah dilihat tatkala anak didik ada yang tiba-tiba tidak sihat, guru tetap menemani anak tersebut  sepanjang di sekolah tanpa ada rasa gentar, risau dengan keadaan sekarang.

Guru bukan lagi hanya seorang guru, tetapi guru juga sudah seperti ibu bapa kita di sekolah dan institusi pendidikan. Terlihat kebiasaannya naluri seorang ibu atau bapa yang ikhlas dalam jiwa dan sanubari setiap guru. 

Siapakah guru? Perkataan guru, ia bukan hanya bertumpu atau khas kepada guru yang berada di sekolah sahaja, semua pendidik juga merupakan guru baik dari taska sehinggalah universiti. Malah ibu bapa kita di rumah merupakan guru pertama kita. Mereka semua patut kita hormati sama seperti kita menghormati kedua ibu dan bapa kita. 

Di kala zaman semakin berubah, sesi pembelajaran pula semakin canggih dan maju ke hadapan, apakah tanggungjawab kita kepada guru? Adakah guru hanya dipandang sebagai seseorang yang hanya mengambil alih tugas ibu bapa sepanjang sesi pembelajaran? Guru selalu diumpamakan  dengan lilin yang menerangi orang lain namun membakar diri sendiri, maka kita sebagai insan yang diterangi dengan pelbagai ilmu, wajib menerangi guru kita dengan kejayaan dan adab ketika menuntut ilmu. 

Adapun suatu ketika kita merasakan guru hanyalah orang asing yang hanya mengajar kita mata pelajaran di sekolah atau di mana-mana institusi pendidikan, namun kewajipan sebagai seorang pelajar tetap kita perlu galas. Kekal fokus dalam setiap sesi pembelajaran. Tambahan pula di waktu kelas kita dijalankan secara dalam talian, tentu banyak cabaran kita perlu hadapi untuk fokus. Namun, kita perlu cuba sebaiknya fokus terhadap apa yang guru-guru kita sampaikan. Ianya bukan untuk sesiapa tetapi hanyalah untuk diri kita sendiri. Sesungguhnya setiap guru tidak lain tidak bukan hanyalah mengharap dan mendamba pelajar-pelajar mencapai kejayaan dalam kehidupan. 

Ketika kita sedang memasuki peralihan fasa ke endemik, banyak kelas boleh dilaksanakan secara bersemuka, namun masih ada sebahagian kelas yang perlu dijalankan secara dalam talian. Mungkin disebabkan pelajar dan guru dipisahkan oleh sekeping skrin, kadangkala kita terasa semakin jauh kita bersama guru kita. Amalkan tiap kali kita masuk ke kelas baik secara dalam talian ataupun kelas secara bersemuka dengan mengucap salam atau selamat pagi buat semua guru-guru kita.

Nampak perkara biasa bukan? Percayalah ianya walau nampak seperti suatu perkara remeh namun perkataan hikmah seperti “Assalamualaikum atau hai, selamat pagi guru, madam, doktor, prof.” memberi impak yang sangat besar buat kita dan guru. Kadang-kadang sesi pembelajaran dalam talian nampak sepi. Hanya suara guru kedengaran bertanya itu dan ini, namun adakah kita cuba menjawabnya? Cubalah wahai anak – anak. Percayalah sekalipun kita memberikan jawapan yang salah ia sedikit pun tidak mengecewakan guru kita, malah dihargainya dengan memperbetulkan atau menegur kesilapan kita tanpa rasa jemu. 

Pernah atau tidak kita berfikir tentang hadiah hari guru paling istimewa bila mana 16 mei hampir menjelang tiba. Tika itu, ibu dan ayah juga tidak melepaskan peluang untuk sibuk menyediakan hadiah terbaik buat guru-guru. Namun adakah guru-guru menanti-nanti hadiah dari pelajar-pelajarnya tatkala hari guru tiba? Penulis percaya setiap guru akan menghargai pemberian ikhlas dari kita semua.

Namun,  hadiah terbesar yang sangat bernilai dalam hati guru adalah kejayaan pelajar-pelajar yang dikasihinya. Ketika para pendidik melihat anak muridnya berada di atas pentas konvokesyen, ketika pelajar-pelajarnya ziarah ke rumah bercerita pengalaman kerjaya yang sedang dilaluinya, bila mana pelajar-pelajarnya bercerita tentang kejayaannya dalam hidup. Inilah hadiah yang paling dinanti-nantikan oleh seorang guru. terkadang kita melihat air mata gembira guru-guru kita mengalir. Pujian kata-kata tahniah yang tidak henti-henti buat kita. Juga paling tidak akan pernah berhenti, adalah doa dari mereka buat semua pelajar-pelajarnya. Terima kasih cikgu, madam, ustaz, ustazah, doktor dan prof.

Jasamu dikenang selalu. 

 

 

 

Nurulisyazila Othaman

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)