Utusan Malaysia, 20 Mei 2022

Negara perlukan pemimpin amanah, profesional, inovatif SAUDARA PENGARANG. MALAYSIA mengharungi kecelaruan politik luar biasa dalam sejarah sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum (PRU) 2018. Belum pernah berlaku dalam sejarah, negara bertukar Perdana Menteri dan barisan Kabinet dirombak sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga tahun selain menyaksikan beberapa negeri melaksanakan pilihan raya negeri (PRN) akibat ketidakstabilan kerajaan sedia ada. Malaysia ketinggalan dalam pelbagai aspek berbanding negara-negara jiran. Di kala negara seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam rancak membina semula sektor ekonomi yang terjejas akibat Covid-19, kita masih bergelut dengan perebutan kuasa dan politik.Terbongkarnya satu per satu jenayah rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pemimpin dan ahli politik mencalarkan imej negara di mata dunia. Kredibiliti badan kehakiman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semakin terhakis dengan pelbagai kelemahan dan palitan skandal.Percaturan demi percaturan digagaskan parti-parti politik demi mendapatkan puncak kuasa. Lompat melompat parti seolah-olah menjadi senjata ampuh untuk berebut kuasa sehingga tanggungjawab membangun negara dan menjaga kemaslahatan rakyat terabai.Untuk membina semula negara, kita memerlukan pemimpin yang memiliki ciriciri amanah, profesional dan inovatif.Walau apa juga anutan agama sekiranya memiliki sifat amanah, pasti mereka akan menggalas tanggungjawab dengan jujur dan penuh integriti. Malah, tidak mudah disogok dengan habuan pangkat dan kemewahan dan ia akan menjadi benteng kesetiaan kepada mandat rakyat. Dengan sifat ini, seseorang pemimpin akan bertindak berpandukan peraturan dan hukum. Pemimpin yang profesional pula mampu melaksanakan tugas dengan berkesan dan cemerlang. Dengan memiliki ilmu, kemahiran, akhlak serta budaya kerja positif, mereka akan sentiasa berdaya maju dan memiliki kecenderungan untuk melaksanakan tanggungjawab secara sempurna merentas sempadan kepartian, kaum atau agama.Pemimpin juga perlu sentiasa kreatif dalam melaksanakan tugas dan menyelesaikan masalah rakyat. Pemimpin dengan cara kerja lama dan rentak kerja lapuk perlu disisihkan. Perkhidmatan yang cekap dan pantas hasil dari pemimpin yang inovatif sudah pasti akan memberi manfaat yang signifikan terhadap pembangunan negara.Parti-parti politik perlu lebih bertanggungjawab dengan berani meletakkan calon berwibawa bukan sekadar populariti mahupun legasi silam sementara rakyat perlu lebih teliti dalam memilih pemimpin yang mewakili mereka. RAKYAT perlu lebih teliti dalam memilih pemimpin yang memiliki ciri-ciri amanah, profesional dan inovatif yang akan mewakili suara mereka.

 

SHAFRY SALIM

Timbalan Pengarah Pusat Kepimpinan & Kompetensi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Artikel ini juga diterbitkan dalam :

1. malaysiakini.com, 20 Mei 2022 : https://www.melaysiakini.com/negara-perlukan-pemimpin-amanah-profesional-inovatif-41894.html

2. utusan.com, 20 Mei 2022 : https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2022/05/negara-perlukan-pemimpin-amanah-profesional-inovatif/