BATU PAHAT – Pasukan OFFWHITE dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bergelar juara apabila berjaya menewaskan pasukan lawan bagi pertandingan PUBG kategori Terbuka IPT semasa berlangsungnya Kejohanan ESports Terbuka Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Johor 2021 pada 5 hingga 10 April lalu.

Kejayaan itu melayakkan mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500 berserta medal, piala pusingan dan juga sijil.

Manakala bagi PUBG kategori terbuka Johor, tempat pertama dirangkul pasukan INSURGENT dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,000, medal, piala pusingan dan sijil.

Mobile Legends kategori Tebuka IPT Johor pula dijuarai oleh PIS PRIDE dari Politeknik Ibrahim Sultan dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500, medal, piala pusingan dan sijil.

Sementara itu, bagi Mobile Legends kategori Tebuka Johor pula, pasukan LACOSTE muncul juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,000, medal, piala pusingan dan sijil.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad ketika hadir menyempurnakan majlis penutup kejohanan yang diadakan pada 10 April lalu bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM kampus induk.

Menurut Pengarah Pusat Sukan Universiti (PSU), Azli Puddin penganjuran kejohanan itu telah berjaya menarik lebih 500 pelajar IPT termasuk penglibatan belia di Batu Pahat dan sekitar negeri Johor.

“Penganjuran yang dijalankan secara dalam talian ini mempertandingkan dua acara utama iaitu Mobile Legend Bang Bang dan Player Unknown Better Ground atau lebih dikenali dengan PUBG Mobile bagi merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM 14,000.00.

Tambah beliau, Kejohanan ESports Terbuka IPT Johor 2021 ini menjadi medan terbaik bagi penuntut IPT memulakan langkah ke dunia e-sukan pada tahap yang lebih tinggi dan profesional.

Sementara itu, Noraini dalam ucapannya berkata sukan elektronik atau lebih popular dengan e-sports pada masa ini semakin berkembang seiring dengan kecanggihan teknologi semasa.

“Di Malaysia pendapatan pemain Malaysia dalam Dota dua mencatatkan kedudukan kelapan tertinggi daripada 59 buah negara di seluruh dunia.

“Malah Soloz atau nama sebenarnya Mohd Faris Zakaria pernah menggemparkan Malaysia apabila membeli sebuah Mustang hasil kerjayanya dalam arena e-sports.

“Ini sekali gus membuktikan sukan ini mampu menjana pulangan ekonomi yang lumayan,” tambah beliau.

Turut diadakan Klinik ESports yang menampilkan FIFA 2021 khusus untuk para pengunjung.

PSU, UTHM berjaya melaksanakan kejohanan ini dengan baik sekali dengan sokongan Kementerian Pengajian Tinggi, juga dengan kerjasama Rentaqa Event sebagai rakan sukan.