MUAR – Perangkap sisa pepejal Eco-trap yang telah dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik daripada Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam, Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya memerangkap 953.5 kilogram sisa pepejal ketika menjalankan operasi pembersihan di Sungai Panchor, Muar, Johor.

Projek yang diketuai oleh Ts. Dr. Roslinda Ali ini dilaksanakan dengan kerjasama SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) sekitar November lalu.

Menurut Dr. Roslinda Eco-trap yang diperbuat daripada sisa botol plastik yang bertindak sebagai pelampung apabila perangkap ini dilepaskan ke dalam sungai  merupakan satu projek inovasi kos rendah bagi memerangkap sisa pepejal.

“Projek ini adalah hasil cetusan idea pelajar tahun akhir, Andrew Soh Wee Shong yang melihat banyak sisa pepejal dibuang ke dalam anak sungai berhampiran yang mana sisa itu terus mengalir masuk ke dalam aliran utama Sungai Panchor.

“Ini bukan sahaja mengganggu pemandangan malahan kawasan di sekitar sungai akan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan terutamanya selepas hujan,” katanya.

Menurut beliau lagi, sungai itu bukan sahaja dicemari dengan sisa pepejal yang dibuang oleh penduduk tempatan yang tidak bertanggungjawab, malah sisa organik seperti daun, batang, pelepah dan buah kelapa yang ditanam berhampiran turut menyumbang kepada pencemaran sungai tersebut.

“Kajian ini telah dijalankan selama sebulan di Sungai Panchor yang mana Eco-trap ditenggelamkan ke dalam sungai dan hujung jaring ditambat sebelum ditinggalkan begitu sahaja.

“Apabila perangkap ini penuh, penyelidik dengan bantuan 3R Troopers SWM Environment yang diketuai oleh Muhammad Asraff Jailani akan menarik perangkap ini ke atas untuk dibersihkan.

“Sisa pepejal seperti tin logam dan aluminium, plastik, sisa organik dan sisa besar yang terperangkap akan diasingkan dan ditimbang sebelum dilupuskan dengan kaedah yang betul oleh pihak SWM Environment,” katanya.

Dr. Roslinda juga menjelaskan antara cabaran terbesar selama sebulan ini ialah untuk memastikan sisa yang mengalir masuk ke dalam Eco-trap kekal terperangkap semasa jaring diangkat naik ke atas.

“Beberapa penambahbaikan telah dilakukan ke atas perangkap tersebut sebelum dilepaskan semula ke dalam sungai untuk memastikan ia dapat berfungsi dengan optimum untuk proses pengumpulan seterusnya,” tambah beliau.

Dr. Roslinda turut menggesa masyarakat Malaysia untuk lebih prihatin dan bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan alam sekitar.

“Semua pihak harus mengambil bahagian dan memainkan peranan masing-masing untuk memastikan alam sekitar terus selamat didiami oleh generasi akan datang,” ujarnya.