BATU PAHAT – Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional (ISMPV) Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mendapat perhatian pihak industri Carrier (Malaysia) Sdn. Bhd apabila mereka mula ditawarkan untuk menjalani latihan industri (LI) di syarikat terbabit.
Pihak Industri Carrier (Malaysia) Sdn. Bhd. menyuarakan hasrat tersebut ketika berlangsungnya program Fakulti Pendidikan Teknik dan Vokasional (FPTV) bersama Indusri yang diadakan pada 22 Ogos lalu.
Program FPTV bersama Industri Carrier (Malaysia) Sdn. Bhd. diadakan bagi membincangkan jalinan kerjasama yang boleh dilakukan dengan pihak Industri Carrier (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi menjayakan program baharu FPTV iaitu Sarjana Muda Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara. Pada masa yang sama, program tersebut juga bertujuan untuk menemuduga calon pelajar bagi penempatan latihan industri. Perbincangan berkaitan kerjasama FPTV bersama syarikat terbabit menunjukkan hasil yang positif dan memberansangkan apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk merealisasikannya melalui sesi menandatangani perjanjian persefahaman (MoU).
Menurut Ketua Jabatan Kejuruteraan FPTV, Dr. Faizal Amin Nur Yunus seramai 12 orang pelajar daripada 12 program ISMPV telah ditemuduga dan tujuh daripada mereka telah berjaya dipilih untuk menjalani latihan industri di Carrier (Malaysia) Sdn. Bhd. Mereka akan menjalani latihan tersebut selama enam bulan iaitu dua bulan bagi melengkapkan kursus LI bagi program ISMPV dan empat bulan tambahan sebagai tempoh percubaan sebelum diberikan penawaran jawatan sebagai jurutera berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh pelajar. Mereka akan ditempatkan dibahagian sokongan teknikal (technical support) dengan bayaran elaun sebanyak RM1250 sebulan.
“Pihak fakulti yakin jika para pelajar terbabit menunjukkan komitmen dan prestasi yang baik ketika menjalani latihan industri, mereka akan dapat membina kerjaya yang cemerlang di sana sekali gus mampu meningkatkan lagi ekonomi hidup masing-masing kelak,” katanya.
Insiatif kerjasama yang diambil oleh pihak FPTV dan industri wajar diberi galakan bagi memastikan penambahbaikan dalam program akademik yang ditawarkan oleh universiti relevan dengan keperluan semasa. Kerjasama sebegini juga diharapkan dapat membantu mempromosikan graduan UTHM selari dengan tagline“UTHM Produces Professionals.”