Oleh Norain Azal, Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 6 Dis 2024 – Seramai 216 graduan pascasiswazah (penyelidikan) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dirai dalam Majlis Pemakaian Hud dan Jamuan Siswazah 2024 Kali Ke-12 yang berlangsung di Maple Hall, Orchid Event Space, The Summit Batu Pahat.

Majlis yang julung-julung kalinya diadakan di luar kampus UTHM itu bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian graduan pascasiswazah dan memberi penghormatan kepada penyelia dalam menyumbang ilmu dan hasil penyelidikan bagi mencapai aspirasi kecemerlangan akademik dan universiti.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Naib Canselor UTHM.

Dato’ Ruzairi dalam ucapannya turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada para graduan, penyelia utama dan para penerima anugerah.

Beliau turut berpesan kepada semua graduan agar sentiasa menghargai pengorbanan para penyelia dan keluarga yang telah banyak menyumbangkan masa, idea, ilmu dan suntikan semangat dalam memastikan kejayaan hari ini dapat dinikmati semua.

Sebagai alumni dan duta kecil UTHM, beliau melahirkan pengharapan agar para graduan selepas ini mampu berdaya saing dan mengharumkan nama UTHM dan Malaysia di persada dunia.

Hadir sama, Prof. Dr. Shahruddin Mahzan @ Mohd Zin,Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa); Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); Provost UTHM Kampus Cawangan pagoh, Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad; Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Profesor Dr. Mohamad Zaki Noh; Penolong-penolong Naib Canselor dan Dekan-dekan.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu jemputan iaitu pihak Geomatics and Land Surveying Division, Royal Institution of Surveyors Malaysia.

Turut diadakan, penyampaian beberapa anugerah pascasiswazah iaitu Best Publication Award, Best Innovation Award, Best Alumni Award, Best Supervisor Award, Highest Intake Postgraduate Programme Award, Outstanding International Enrollment Award, Outstanding “Program Serapan” Award, Best Student Award, Best Faculty Award for Research Graduate dan Special Award yang melibatkan seramai 39 penerima.

Pada masa yang sama, majlis tersebut turut menyaksikan penganugerahan Best Student Award kepada Sr. Dr. Hajah Ayati Parmen yang diberikan oleh Geomatics and Land Surveying Division, Royal Institution of Surveyors Malaysia.