Oleh PM Sr. Ts. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah, Suriayati Baharom
PUTRAJAYA, 6 Nov 2024 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih tempat kelima ‘Anugerah Universiti Terbaik’ bagi Program Global Outsourcing Talent (GOT) dan Anugerah Pencapaian Cemerlang’ bagi kategori Universiti yang disandang oleh pelajar, Iman Nur Ashraf Zulkifli.
UTHM menerima anugerah itu di Majlis Penutupan program MOHE-MDEC GOT yang diadakan bagi meraikan kejayaan 5,518 peserta yang berjaya dilatih sebagai pekerja bebas digital atau ‘freelancer’ berkemahiran tinggi.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud hadir merasmikan majlis tersebut.
Untuk rekod, program GOT anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah payung PENJANA KPT-Career Advancement Programme (PENJANA KPT-CAP).
Program itu menyasarkan pelajar tahun akhir serta graduan, bagi membangunkan kemahiran digital mereka melalui latihan dalam bidang seperti Reka Bentuk Web, Media Kreatif, Pengurusan Media Sosial, Pembantu Maya, dan Linguistik.
Pengarah Pusat Teknousahawan Universiti (PTU), Profesor Madya Sr. Ts. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah mewakili Timbalan Naib Cancelor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) telah menerima Plak berserta hadiah berupa Epson LCD Projektor dan Dynamax Protable Speaker.
Manakala Iman Nur Ashraf, pelajar Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional yang dinobatkan sebagai peserta terbaik UTHM pula membawa pulang hadiah berupa Galaxy Tab 9FE, atas kejayaannya meraih pencapaian tertinggi dalam kalangan peserta program GOT.
Menurut beliau, program seperti itu telah memberikan semangat kepadanya dan rakan-rakan peserta untuk bersaing di pasaran terbuka, selain dapat meningkatkan lagi keyakinan untuk terus berusaha pada masa hadapan.
Sementara itu, Dr. Nazirah pula berkata PTU amat berharap dapat melahirkan lebih ramai pelajar berminda keusahawanan dan menjadikan bidang tersebut sebagai kerjaya pilihan.
“PTU komited dalam menyediakan bimbingan, latihan dan sumber yang diperlukan agar mereka dapat mencipta perniagaan yang berdaya saing.
“Dengan sokongan yang kukuh, PTU percaya para pelajar mampu pergi lebih jauh dalam memperoleh kejayaan dalam perniagaan yang diceburi,” katanya.
Lebih manis lagi, Pengerusi Bukan Eksekutif MDEC, Tuan syed Ibrahim Syed Noh dalam ucapannya turut memberi penghargaan kepada pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Angelina Tan Musi kerana berjaya memperoleh pendapatan dalam nilai mata wang USD.
“Pencapaian pelajar seumpama ini patut dijadikan contoh terbaik kepada kesemua universiti yang ada pada hari ini,” katanya.