BATU PAHAT, 7 November 2024 – Komuniti Orang Asli Leboh, Kangkar Senangar akhirnya dapat menikmati kemudahan bekalan air bersih melalui kaedah merawat sumber air bawah tanah menggunakan tenaga solar.
Melalui dana yang telah diperoleh daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) iaitu Geran Komuniti Unimadani kepada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dengan kerjasama Ranhill SAJ Sdn. Bhd. dan Techkem Group Sdn. Bhd., program itu dilaksanakan bagi membantu Orang Asli Leboh menikmati air minuman melalui pemasangan teknologi rawatan air terkini yang dikenali sebagai sistem REWART.
Sistem tersebut menggunakan tenaga solar bagi merawat air bawah tanah di kampung itu lalu menukarkannya kepada air yang bersih dan boleh diminum.
seramai 50 kakitangan telah terlibat dalam ‘Program Pemindahan Ilmu dan Tanggungjawab Sosial Korporat: Pembangunan Sistem Panel Penyulingan Lestari Melalui Cahaya Matahari Untuk Rawatan Air Bawah Tanah Orang Asli Leboh’ yang diadakan di Kampung Lama Orang Asli Leboh, Kangkar Senangar.
Pihak yang terlibat termasuklah kakitangan dari Ranhill SAJ dan Techkem Group serta staf daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), UTHM dan penduduk Orang Asli leboh.
Selain itu, program itu juga turut memberi pendedahan kepada penduduk kampung berkaitan rawatan air melalui pemindahan ilmu yang telah disampaikan oleh penceramah Dr. Mimi Suliza Muhamad yang merupakan Pensyarah FTK bersama Ir Dr. Chew Chun Ming, kakitangan Techkem Group.
Program tersebut telah disempurnakan oleh Dekan FTK Profesor Madya Ts. Dr. Jumadi Abdul Sukor.
Beliau dalam ucapannya berharap pelaksanaan program seumpama itu dapat memberi ilmu yang bermanfaat kepada komuniti Orang Asli dan semangat yang baharu kepada penduduk dalam menjalani kehidupan seharian.
“Program ini juga diharap dapat merancakkan lagi hubungan kerjasama antara universiti dan industri dalam membantu masalah komuniti sekali gus dapat mengeratkan lagi hubungan persaudaraan sesama kita,” katanya.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill, Haji Anuar Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif, Techkem Group, Datuk David Ng.
Sementara itu ketua kampung tersebut, Tok Lim Abdul Rahman turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih beliau kepada UTHM, Ranhill SAJ dan Techkem Group atas usaha murni yang telah dilaksanakan.
“Sumbangan yang telah diberikan ini amat bermakna kepada kami sekali gus memberi sinar dan harapan baharu kepada seluruh penduduk kampung,” katanya.
Berita ini juga diterbitkan di:
1. Bernama (bernama.com), 8 November 2024: Teknologi REWART Bantu Dapatkan Bekalan Air Terawat Di Kampung Orang Asli
https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2361186
2. Bernama (bernama.com), 8 November 2024: Rewart Technology Helps Provide Orang Asli With Access To Treated Water
https://www.bernama.com/en/news.php?id=2361211
3. Buletin Tv3 (buletintv3.my), 9 November 2024: Orang Asli Leboh terima bekalan air terawat hasil penggunaan tenaga solar