BATU PAHAT – Bagi mengasah pemikiran kreatif dan inovasi pelajar, Pusat Pembangunan Pelajar (PBP) dengan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2023/2024, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan ‘Karnival Pertandingan Inovasi dan Bakat Pelajar 2024’ (KPIBP) pada 27 dan 28 Oktober 2024 lalu bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Penganjuran KPIBP 2024 ini meliputi dua program utama iaitu ‘The National Undergraduate Innovation Competition (NUIC’24),’ sebuah pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan Pertandingan Debat Piala Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti; serta Pidato Piala Naib Canselor yang turut mendapat kerjasama daripada Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM).

Seramai 79 peserta terdiri daripada pelajar institusi pengajian seperti kolej komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), universiti awam dan swasta telah mempamerkan 34 projek inovasi yang berpotensi untuk diketengahkan.

Menurut pengarah PBP, Ts. Dr. Khalid Isa penganjuran program itu bukan sahaja berfungsi sebagai platform kepada pelajar mempamerkan hasil inovasi dan kebolehan mereka, tetapi juga sebagai medan latihan untuk membangunkan pelbagai kemahiran yang amat diperlukan dalam dunia nyata seperti kemahiran berfikir secara kritis, kerjasama, komunikasi dan kepimpinan.

“Memang kita sedia maklum bakat dan inovasi adalah kunci utama bagi memacu kemajuan sesebuah negara pada era digital dan globalisasi ini.

“Justeru itu, saya amat berbangga melihat pelbagai idea dan inovasi yang dipersembahkan oleh para peserta dari pelbagai program pengajian,” katanya.

Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Ir. Ts. Abdul Rahman Bahasa, wakil rasmi Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan KPIBP 2024 serta turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Debat dan Pidato.

Turut hadir, Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi) dan wakil penaja Yayasan UTHM, Mohd Razif M. Ismail selaku penyampai hadiah pertandingan inovasi peringkat kebangsaan.

Majlis tersebut menyaksikan Mohamad Asyraf Nordin telah dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik (Bahasa Melayu), manakala Pendebat Terbaik (Bahasa Inggeris) pula diraih oleh Nurul Izzah Anuar dan juara pidato pula dimenangi oleh Muhammad Faris Haziq Azwira.

Sementara itu, Anugerah Pembentangan Terbaik NUIC 2024 telah dimenangi oleh pasukan daripada Universiti Malaysia Pahang (UMPSA) dengan projek ‘Design and Development of Autonomous Mobile Robot Platform for Pallet Transportation,’ Anugerah Inovasi Terbaik dimenangi oleh projek ‘Integrated Flood Victim Evacuation Centre Management System’ (FLiEC) dari UTHM, manakala Anugerah Khas Yayasan UTHM dimenangi oleh projek ‘Automated Coloring of PET Filaments from Transparent Bottles,’ juga dari UTHM.

Selain pertandingan inovasi dan bakat pelajar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Cawangan Batu Pahat turut memeriahkan program dengan membuka kaunter pendaftaran akaun  KWSP serta edaran 200 pax makanan kepada untuk para peserta dan pengunjung yang membuka i-Akaun KWSP sempena KPIBP 2024.