Oleh Dr. Radzi Ambar, Ts. Dr. Khalid Isa, Suriayati Baharom

BATU PAHAT – Seramai 21 sukarelawan pelajar yang diketuai oleh Muhammad Faisal Ahmad Juhari bersama kakitangan Pusat Pembangunan Pelajar (PBP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjayakan Misi Sukarelawan Pasca Banjir bertempat di Alor Setar dan Jitra, Kedah pada 27 dan 28 September 2024 lalu.

Misi sukarelawan itu merupakan sebahagian daripada usaha murni UTHM untuk membantu komuniti yang terkesan akibat banjir besar yang melanda kawasan utara Malaysia khususnya di Kedah.

Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Kelab Sukarelawan UTHM (KSU), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTHM, Yayasan UTHM, Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) dan Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM).

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq telah hadir menyempurnakan upacara pelepasan misi sukarelawan pelajar yang diadakan pada 26 September 2024 lalu.

Pada tanggal 27 September, misi pembersihan telah dijalankan di Taman Tanjung Bendahara, Alor Setar, yang mana para sukarelawan telah membantu membersihkan sebuah rumah pelajar UTHM dan dua rumah penduduk tempatan yang terjejas akibat banjir.

Rumah-rumah terbabit yang mengalami kerosakan barangan seperti perabot, peralatan elektrik dan buku-buku itu amat memerlukan bantuan segera.

Menurut salah seorang sukarelawan yang terlibat, pengalaman itu telah membuka mata mereka tentang pentingnya kesedaran dan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana alam.

Mereka turut melahirkan rasa kagum terhadap ketabahan dan kekuatan mental penduduk yang terus berusaha memulihkan keadaan walaupun kehilangan banyak harta benda.

Selain daripada membersihkan rumah, para sukarelawan juga berpeluang berbual mesra dengan penduduk, memberikan sokongan moral serta mendengar luahan hati mereka yang terjejas.

Manakala pada tanggal 28 September 2024, sukarelawan pelajar UTHM sekali lagi berganding bahu bersama sukarelawan pelajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Institut Pendidikan Guru Darul Aman (IPDA), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra dan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) bagi melaksanakan misi pembersihan di bawah Program Rakan Bumi.

Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kubang Pasu itu dijalankan di kawasan Masjid Pulau Timbul, Jitra, yang juga melibatkan kerja-kerja pembersihan masjid serta rumah-rumah penduduk yang terkesan.

Misi itu turut mendapat kerjasama erat daripada komuniti kampung Pulau Timbul, Majlis Belia Kubang Pasu, Pejabat Kesihatan Kubang Pasu, Sukarelawan Anak Malaysia Satria dan agensi keselamatan tempatan.

Sementara itu, majlis perasmian penutup program telah disempurnakan oleh Penolong Pegawai Daerah Kubang Pasu, Zaharin Dato’ Haji Zahari.

Majlis tersebut menyaksikan semua sukarelawan yang terlibat diberikan sijil penghargaan sukarelawan daripada Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kubang Pasu sebagai tanda penghormatan atas sumbangan dan pengorbanan mereka dalam menjayakan misi itu.

Menurut Pengarah PBP, Ts. Dr. Khalid Isa, Misi Sukarelawan Pasca Banjir itu diharapkan dapat membantu proses pemulihan kawasan terjejas akibat banjir di Alor Setar dan Jitra, serta memberikan sedikit kelegaan kepada para mangsa.

“Usaha gigih para sukarelawan ini membuktikan bahawa peranan mahasiswa sangat penting dalam membantu masyarakat, terutamanya dalam situasi-situasi kecemasan dan bencana alam.

“Semoga semangat kesukarelawanan ini terus subur dan menjadi inspirasi kepada semua pihak untuk terus berbakti kepada masyarakat pada masa akan datang,” katanya yang turut menyertai misi tersebut.