Oleh Prof. Madya Ir. Dr. Nickholas Anting Anak Guntor, Suriayati Baharom

JEPUN – Tiga pelajar sarjana muda dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada tahun ini terpilih sekali lagi untuk menyertai program ‘Sakura Science Exchange’ bertempat di Nagoya Institute of Technology (NITECH), Jepun.

Seramai tujuh pelajar telah terpilih untuk menyertai program itu iaitu Tee Yen Shin, Atirah Rahmat dan Nik Nur Shahira Nik Ismail dari UTHM, manakala dua pelajar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan dua lagi dari Monash University.

Program yang diketuai oleh Profesor Madya Ir. Dr. Nickholas Anting Anak Guntor selaku  pegawai pengiring itu telah berlangsung selama lima hari, bermula pada 22 hingga 27 September 2024.

Menariknya program tersebut, semua kos perbelanjaan termasuklah tiket penerbangan, tempat tinggal serta sara diri ditaja sepenuhnya oleh Japan Science and Technology Agency (JST).

Menurut Dr. Nickholas, matlamat utama program itu adalah untuk mengukuhkan kerjasama penyelidikan antara UTHM dan NITECH, terutamanya dalam bidang nanotechnologi untuk aplikasi bahan teknologi hijau dalam bidang kejuruteraan awam.

“Peserta yang terpilih untuk menyertai program ini berpeluang untuk menjalankan tiga uji kaji saintifik bertemakan Photocatalysis of Nano-Thin Film Materials secara hands-on.

“Pelajar juga diberi peluang untuk membentangkan hasil dapatan daripada eksperimen yang telah dijalankan secara berkumpulan dan peluang itu merupakan satu pengalaman yang bermakna bagi para peserta selain dapat mempelajari ilmu berkaitan dengan nanoteknologi,” tambah beliau.

Selain itu, pelajar juga dibawa untuk melawat dua muzium yang terkenal di Nagoya, iaitu Nagoya City Science Museum dan SGMaglev and Railway Park.

Antara tarikan Nagoya City Science Museum ialah muzium tersebut mempunyai planetarium yang terbesar di dunia.

Manakala SGMaglev and Railway Park adalah muzium kereta api milik Central Japan Railway Company yang mempamerkan pelbagai jenis kereta api, termasuklah jenis steam sehingga kereta api laju yang termoden.

Sementara itu, satu sesi perbincangan juga telah diadakan untuk menentukan hala tuju selepas program itu, yang mana wakil universiti terlibat bersetuju untuk bekerjasama membentuk satu konsortium nanoteknologi yang akan berpangkalan di UTHM.

Kerjasama antarabangsa ini melibatkan kolaborasi empat universiti iaitu NITECH-UTHM-UTM-Monash University.

“Pembentukan konsortium ini dijangka dapat membentuk satu kerjasama yang baik antara universiti yang terlibat dalam bidang penyelidikan berkaitan dengan aplikasi nanoteknologi,” kata Dr. Nickholas.