BATU PAHAT – Pelajar tahun empat Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (Pembinaan), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai Program Service-Learning Malaysia-University for Society (SULAM) di bawah subjek BPD 45903 Projek Pembangunan Pembinaan, melibatkan warga Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gading (SEGA) pada 18 Oktober 2024 lalu.
Program SULAM yang diketuai oleh dua pensyarah, Sr Zailawati Khalid dan Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Sulzakimin Mohamed itu melibatkan penyertaan seramai 50 pelajar FPTP dan 70 pelajar tingkatan tiga, serta beberapa pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Program SULAM itu melibatkan beberapa aktiviti antaranya penyerahan sumbangan tiga set kerusi batu, acara team building bersama pelajar tingkatan tiga dan aktiviti mengecat di sekitar kawasan SMK Seri Gading.
Menurut Zailawati, program khidmat komuniti itu diadakan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar sekolah tentang jurusan pengurusan pembinaan selain memberi motivasi dan meningkatkan kemahiran insaniah mereka melalui pelaksanaan aktiviti team building.
Tambah beliau, sumbangan tiga set kerusi batu itu juga untuk memberi kemudahan kepada pelajar sesuai dengan perancangan pihak sekolah untuk mewujudkan kawasan tambahan bagi kantin memandangkan kantin sedia ada tidak dapat menampung semua pelajar pada waktu rehat.
“Selain aktiviti mengecat, pihak kami turut menyumbang beberapa tin cat kepada pihak sekolah untuk kegunaan mengecat kelak di beberapa kawasan di sekolah.
“Hasil pelaksanaan program ini, pihak kami mendapati pelajar SMK Seri Gading berasa sangat gembira kerana dapat menimba ilmu baharu khususnya tentang bidang pembinaan sekali gus dapat dapat meningkatkan lagi reputasi dan imej UTHM di mata masyarakat.,” tambah beliau.
FPTP berharap pelaksanaan program seumpama itu dapat mengeratkan lagi hubungan antara UTHM dan juga komuniti setempat.