Oleh Dr. Emedya Murniwaty Samsudin

BATU PAHAT – Bagi melatih kemahiran berkebun dalam kalangan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), seramai 42 pelajar telah berpeluang menyertai program ‘Projek Taman Herba Pusat kitar Semula’ yang diadakan di Pusat Kitar Semula, kampus induk pada 18 Oktober 2024 lalu.

Program anjuran Kelab Planeteers dengan kerjasama Pejabat Kampus Lestari (SCO), UTHM itu bertujuan untuk menyokong inisiatif ‘Kampus Lestari’ serta melatih dan memupuk minat berkebun dalam kalangan pelajar B40 UTHM.

Penganjuran program itu turut mendapat sokongan dan tajaan daripada Yayasan UTHM bagi perbelanjaan peralatan program dan anak-anak pokok.

Menurut Presiden Kelab Planeteers UTHM, Muhamad Khairul Amin Mohd Khairulanis sebahagian besar daripada peserta merupakan pelajar tahun satu yang baharu sahaja beberapa minggu mendaftar pengajian di UTHM.

“Sebilangan peserta datang ke program dengan berjalan kaki dari kolej kediaman ke Kabin Planeteers di Pusat Kitar Semula UTHM kerana tidak mempunyai kenderaan.

“Saya memandang perkara ini sebagai suatu tanda kebangkitan semangat yang tinggi terhadap nilai cinta alam dalam kalangan pelajar baharu UTHM.

“Perkembangan ini sangat positif dan menunjukkan generasi muda sangat cakna dan peka kepada alam persekitaran dan minat untuk belajar bukan sahaja dalam bidang pengajian yang mereka ikuti, tetapi juga terhadap kemahiran lain terutamanya aktiviti berkebun,” katanya.

Menerusi program itu, sebanyak 17 anak pokok herba dan 33 batang pokok berkayu telah ditanam dan akan diuruskan penjagaannya oleh ahli-ahli Kelab Planeteers.

Selain itu program itu sekali gus berjaya membersihkan kawasan sekitar Rumah Pembelajaran Pemulihan Sumber (RPPS) dan Pusat Operasi Planeteers UTHM.

“Tidak lama lagi, tanaman herba dan pokok buah-buahan akan mengeluarkan hasil dan kami akan  jadikan hasil tanaman ini sebagai sumber pendapatan ahli-ahli kelab terutamanya dalam kalangan pelajar B40,” tambah Khairul.

Wakil Pejabat Kampus Lestari, Prof. Madya Dr. Nur Shaylinda Mohd Zain dan Penasihat Kelab Planeteers (Kampus Parit Raja), Dr. Emedya Murniwaty Samsudin turut menyertai aktiviti bergotong-royong membersihkan persekitaran pusat kitar semula tersebut dan turut berkebun bersama-sama pelajar.