BATU PAHAT – Program Jejak Inspirasi anjuran Centre for Sustainable Infrastructure and Environmental Management (CSIEM), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) dan Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 24 September 2024 lalu telah membantu meningkatkan semangat belajar anak-anak luar bandar.
Program melibatkan para pelajar dan guru-guru Sekolah Kebangsaan Paloh 2 itu diadakan bertujuan untuk memberi motivasi, membakar semangat dan meningkatkan keyakinan anak-anak luar bandar agar lebih terampil, berani merebut peluang yang tersedia, serta tidak merasa terpinggir dalam mengejar kejayaan.
Program yang disempurnakan oleh Dekan FPTP, Prof. Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri agak berbeza dengan program sebelum ini yang pernah dijalankan pada tahun 2017.
Menurut penyelaras program, Prof. Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom yang juga anak jati Paloh, pengisian aktiviti kali ini sememangnya lebih menarik, santai dan kreatif.
Beliau yang turut dibantu oleh enam orang fasilitator berkata matlamat utama program itu adalah untuk memperkasakan lagi keyakinan diri pelajar melalui sesi ceramah motivasi bertajuk ‘Jom Gali Potensi Diri.’
“Saya memberi ceramah ini bagi membantu pelajar memahami bahawa kejayaan bermula dari mengenali potensi diri dan berani mencuba tanpa perlu merasakan kekurangan kerana berasal dari luar bandar.
“Objektif lain adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan peluang menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi yang mungkin tidak mereka ketahui,” katanya.
Lawatan ke fasiliti UTHM seperti Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA) telah membuka minda pelajar terhadap persekitaran pembelajaran di universiti, selain memberi inspirasi kepada mereka bahawa pendidikan di universiti bukanlah sesuatu yang sukar dicapai.
Para peserta juga didedahkan dengan kemudahan dan sumber pembelajaran yang mampu membantu mereka mengejar cita-cita.
Turut diadakan, sesi ‘English is Fun’ yang bertujuan memupuk minat dan keyakinan pelajar menggunakan bahasa Inggeris.
Melalui aktiviti interaktif dan menyeronokkan itu, mereka diberi peluang untuk menguasai bahasa tersebut dengan cara yang lebih santai dan tidak menekan.
“Ini adalah langkah penting untuk membina kemahiran komunikasi yang lebih baik, yang sememangnya penting dalam dunia pendidikan dan kerjaya global,” tambah Dr. Asrul.
Program itu juga bermatlamat untuk membina sikap proaktif dalam kalangan pelajar, supaya mereka berani meneroka pelbagai peluang yang ada, sama ada dalam aspek akademik atau pembangunan diri.
Pelajar diberi dorongan untuk tidak takut mengambil risiko dan mencuba perkara baharu, kerana setiap peluang yang ada boleh menjadi batu loncatan kepada kejayaan masa depan.
“Dengan pendedahan yang diberikan, mereka diharap akan lebih berani keluar dari zon selesa dan mencabar diri untuk mencapai impian mereka,” katanya.
Selain itu, objektif program ini juga untuk mengubah persepsi pelajar terhadap definisi kejayaan, kerana kejayaan adalah milik sesiapa sahaja yang mempunyai komitmen dan semangat juang yang tinggi untuk terus belajar serta memperbaiki diri.
Dengan sokongan daripada CSIEM, FPTP, dan PTTA UTHM, program tersebut berjaya mengukuhkan hubungan antara institusi pendidikan di luar bandar dengan universiti.
“Ini adalah satu usaha yang berterusan untuk membina jambatan yang menghubungkan dunia sekolah dan universiti, yang mana pelajar luar bandar dapat melihat dengan jelas laluan yang boleh diambil untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Hubungan ini penting untuk memastikan pelajar tidak merasa terasing dan mempunyai sokongan yang kuat dalam perjalanan akademik mereka,” ujar Dr. Asrul.
Program Jejak Inspirasi ini mendapat respon yang amat positif daripada pelajar dan guru Sekolah Kebangsaan Paloh 2.
Program tersebut bukan sahaja mampu membuka ruang kepada pelajar untuk mengenali dunia pendidikan tinggi, tetapi juga memberi motivasi dan inspirasi untuk terus berusaha merealisasikan impian mereka.