Oleh Dr. Nurrul Hafeezah Sahak

NEW DELHI – Pensyarah kanan dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Nurrul Hafeezah Sahak telah mencipta kejayaan membanggakan apabila memenangi anugerah ‘Best Poster Presentation as an Early/ Mid-Career Researcher (General Injures Category)’ ketika berlangsungnya ‘15th World Conference on Injury Prevention and Safety Promotion’ di New Delhi, India pada 31 Ogos  hingga 4 September 2024 lalu .

Dr. Nurrul Hafeezah yang menerima pengiktirafan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu merupakan penasihat kepada program Service-Learning Malaysia-University for Society (SULAM), Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia, FTK.

 Rentetan itu, beliau diundang menyampaikan pembentangan yang menonjolkan kejayaan program berkenaan dalam meningkatkan kesedaran tentang pencegahan kecederaan dan promosi keselamatan dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi sekitar Hab Pendidikan Tinggi Pagoh.

Beliau telah mengetengahkan kepentingan pendekatan pembelajaran berasaskan perkhidmatan, yang memberi peluang kepada pelajar universiti untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di kuliah melalui penglibatan aktif dalam komuniti.

Dalam pembentangannya bertajuk “Beyond the Lecture: Safety-Focused Service Learning,” Dr. Nurrul Hafeezah memfokuskan kepada sumbangan program SULAM dalam mencegah kecederaan melalui kolaborasi antara universiti dan masyarakat setempat.

Program kendalian pelajar Sarjana Muda Teknologi Kesihatan dan Kesihatan Pekerjaan itu memberi penekanan kepada latihan keselamatan dan amalan pencegahan kecederaan, yang berupaya memupuk kesedaran berkaitan keselamatan.

Pengiktirafan terhadap Dr. Nurrul Hafeezah dan program SULAM tersebut merupakan satu pencapaian yang besar bukan sahaja kepada UTHM, tetapi juga kepada negara.

“Pengalaman menghadiri persidangan ini amat berharga kerana saya berpeluang memperkenalkan program pelajar UTHM di peringkat antarabangsa, sekali gus membuktikan kemampuan universiti tempatan untuk bersaing di peringkat global,” katanya.

Persidangan yang berlangsung selama lima hari, bermula pada 31 Ogos hingga 4 September 2024 itu turut dihadiri oleh peserta seluruh dunia termasuklah dari Monash University Australia, John Hopkins University, the World Bank, WHO dan the George Institute for Global Health.