Pertanian adalah sektor penting dalam ekosistem dunia semasa. Sektor pertanian antara penyumbang kepada ekonomi sesebuah negara. Perkembangan sektor ini memberikan faedah kepada keseluruhan ekosistem sama ada kepada manusia atau alam semula jadi. Menepati hasrat dalam agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 2030), sektor ini dapat membantu memastikan kriteria-kriteria tertentu dapat dicapai. Hal ini turut dipacu dan dipandu oleh teknologi dan kemajuan dunia semasa.

Inovasi dan kreativiti dalam sektor ini juga dapat menjamin kelestarian alam sekitar supaya kekal utuh. Malah, ia dapat memberi manfaat potensi dalam perniagaan, antaranya sebagai bahan dalam penghasilan produk. Secara umumnya, terdapat pelbagai jenis sisa bahan buangan pertanian yang berpotensi sebagai bahan alternatif pembangunan produk. Di samping dapat mengurangkan sisa bahan buangan pertanian, ia juga dapat menjana pendapatan.

Kebiasaanya, sisa bahan buangan berbentuk serat atau gentian digunakan dan digabungkan dengan bahan lain bagi menghasilkan produk. Teknik-teknik pemprosesan tertentu digunakan dalam pembangunan produk berasaskan serat. Secara amnya, penggunaan bahan berbentuk serat semula jadi akan digabungkan dengan bahan lain bagi menghasilkan bahan yang mempunyai sifat-sifat dan ciri-ciri yang lebih baik, atau dalam istilah yang lain dikenali sebagai bahan ‘komposit’. Pemilihan dan penggunaan jenis serat yang bersesuaian dalam pengaplikasian produk adalah bergantung kepada ciri-ciri yang diperlukan oleh sesuatu produk. Tambahan itu, penilaian terhadap faktor-faktor yang mempengaruhi penggunaan produk seperti bebanan/impak, kebolehtahanan, kebolehpercayaan, selesa mahupun lasak perlu dipertimbangkan.

Pendekatan ini sekali gus dapat membuktikan penggunaan serat atau gentian semula jadi sesuai untuk diubah bentuk menjadi sesuatu yang bernilai dan berharga. Di Malaysia, kepelbagaian tanaman yang diusahakan memberi potensi dalam penghasilan produk berasaskan serat semula jadi, antaranya adalah tanaman kenaf, kelapa, nanas, kelapa sawit, pisang, buluh, jagung dan pokok kayu. Kajian dan penyelidikan oleh penyelidik-penyelidik masih berlangsung dan berterusan dalam mengenal pasti kesesuaian penggunaan pelbagai serat yang berpotensi dalam penghasilan produk.

Sebagai contoh, penggunaan serat dari sumber tanaman nanas dan kenaf dalam industri tekstil, bermula dari penghasilan benang kepada tenunan kain. Serat ini juga banyak digunakan dalam penghasilan produk-produk berbentuk kraftangan. Penggunaan serat semula jadi juga digunakan dalam penghasilan panel dalaman kenderaan. Dalam industri perabot, serat semula jadi digunakan dalam penghasilan perkakasan dalaman rumah, sama ada pintu, meja, kerusi ataupun almari.

Potensi dalam memastikan produk berasaskan serat pertanian ini dapat dipasarkan dengan berkesan adalah melalui sokongan faktor-faktor yang lain. Dalam penghasilan produk berskala besar, ia memerlukan bahan asas yang mencukupi. Secara khususnya, serat yang diperoleh dari tanaman bergantung kepada bahagian-bahagian pada tanaman, sama ada diperoleh dari bahagian daun, bahagian luar batang atau bahagian dalam batang. Walau bagaimanapun, bahagian-bahagian tersebut berbeza, merujuk kepada jenis tanaman. Sumber asas yang mencukupi dapat memberikan impak bagi memajukan pembangunan produk berasaskan serat semula jadi ini.

Peralatan dan teknologi juga perlu seiring dalam membantu proses-proses pengekstrakan serat dari tanaman dengan lebih mudah dan efisien. Penggunaan teknologi terkini dapat mempercepatkan proses kerja, di samping dapat menjamin mutu dan kualiti produk yang dihasilkan. Penyediaan latihan atau kursus-kursus oleh pemegang taruh berkaitan dapat menarik minat dan membantu memperkasakan bidang ini. Dalam konteks ini, ia sekali gus dapat membantu membangunkan modal insan negara yang berketerampilan dan mempunyai kepelbagaian pengetahuan.

Pewujudan hub bagi pengembangan industri serat semula jadi dari sumber pertanian juga penting bagi memastikan kesinambungan potensi serat semula jadi diperluas dan penggunaannya menyeluruh kepada pelbagai industri, terutamanya melibatkan penghasilan produk. Usaha-usaha penganjuran program dan aktiviti giat diadakan oleh pemegang-pemegang taruh sektor ini. Usaha ini antara lain dapat memperkenalkan potensi serat semula jadi, teknologi, produk terkini dan peluang-peluang perniagaan. Antara penganjuran program terbesar melibatkan sektor pertanian di negara kita ialah Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia atau dikenali sebagai MAHA.

Pembangunan produk melalui penggunaan serat semula jadi dapat mempertingkatkan nilai tambah hasil pertanian melalui potensi perniagaan dan pemasaran pelbagai produk. Sementelah itu, ia juga dapat menyuntik minat terhadap bidang pertanian, peningkatan ekonomi dan menjana pendapatan, pengetahuan penggunaan teknologi terkini, menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan melahirkan modal insan berminda usahawan._AP Photo/Hajarah Nalwadda

 

 

 

Prof. Madya Ts. Dr. Ahmad Mubarak bin Tajul Arifin

Penyelidik Utama

Pusat Penyelidikan Pencegahan dan Kebolehpercayaan Kegagalan Mekanikal (MPROVE)

Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan

***

Ketua Jabatan,

Keusahawanan, Daya Usaha dan Inovasi dan Sastera Liberal

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Sinar Harian (muka surat: 20), 8 Oktober 2024: Produk berasaskan serat semula jadi buka peluang perniagaan