Pengumuman belanjawan 2025 yang memperkenalkan rasionalisasi subsidi bahan api petrol RON95 dijangka memberi kesan kepada seluruh lapisan masyarakat. Peningkatan kos petrol bakal mendorong perubahan besar dalam pemilihan kenderaan, khususnya dengan peralihan kepada motosikal sebagai alternatif yang lebih menjimatkan. Walaupun terdapat cabaran, perubahan ini juga memberi peluang kepada rakyat untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan jalan raya dan teknologi kenderaan.

Dengan kos petrol yang meningkat, motosikal dijangka menjadi pilihan utama bagi mereka yang ingin mengurangkan kos perjalanan harian. Peningkatan pemilikan motosikal juga akan memacu perubahan besar dalam corak penggunaan kenderaan. Berbanding pengangkutan awam, motosikal menawarkan fleksibiliti yang lebih besar untuk perjalanan harian, selain menjadi pilihan yang lebih ekonomik berbanding kereta. Pemilihan motosikal sebagai alternatif juga boleh mengurangkan kesesakan jalan raya serta menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon.

Peningkatan penggunaan motosikal membawa impak besar kepada pelbagai sektor. Dari segi pendaftaran kenderaan, Malaysia mencatatkan 15,726,600 motosikal pada tahun 2022, dengan bilangan ini terus meningkat yang mana direkodkan sejumlah 16,773,112 telah didaftarkan sehingga penghujung 2023. Di Malaysia, bilangan kenderaan berdaftar telah melebihi populasi, dengan 36.3 juta kenderaan didaftarkan, termasuk 17,244,978 kereta dan 1,429,403 kenderaan perdagangan. Tren pengurangan kos bahan api akan terus mendorong peningkatan pemilikan motosikal pada tahun 2025 dan seterusnya. Selain itu, peningkatan pemilikan motosikal juga dijangka memperkukuhkan sektor pasaran aksesori automotif, dengan lonjakan permintaan terhadap teknologi berkaitan penjimatan bahan api dan peningkatan prestasi enjin.

Di samping itu, adalah dijangka bilangan penunggang motosikal yang menggunakan lebuh raya juga akan meningkat. Ini juga didorong oleh keadaan jalan tempatan yang tidak selamat, dengan 83% jalan tempatan diklasifikasikan sebagai 1-bintang mengikut penarafan oleh International Road Assessment Program (iRAP). Ini memerlukan penambahbaikan infrastruktur, terutamanya dengan pembinaan laluan khas motosikal di lebuh raya untuk meningkatkan keselamatan penunggang, termasuk juga fasiliti khusus seperti tempat teduhan penunggang motorsikal.

Program peralihan lesen motosikal dari B2 ke B juga dijangka mendapat sambutan positif. Terutamanya bagi mereka yang ingin beralih kepada motosikal berkuasa tinggi, program ini akan memacu peningkatan permintaan terhadap motosikal premium. Bagi pengguna yang berkemampuan dan ingin mengurangkan kos perjalanan harian, peralihan kepada motosikal berkuasa tinggi ini menawarkan keseimbangan antara kos efektif dan prestasi.

Pihak pengeluar motosikal dijangka memperkenalkan model-model baharu yang lebih efisien dan menjimatkan bahan api bagi memenuhi permintaan pengguna yang semakin memilih motosikal sebagai alternatif pengangkutan. Ini bukan sahaja membantu pengguna beralih kepada kenderaan yang lebih mesra alam, tetapi juga mengurangkan beban kos yang ditanggung akibat peningkatan harga bahan api.

Dengan peningkatan harga petrol, permintaan terhadap motosikal dalam semua kategori, termasuk motosikal berkuasa rendah, sederhana, dan tinggi dijangka meningkat. Pengguna akan memilih motosikal berdasarkan keperluan mereka, sama ada untuk kegunaan harian, perjalanan jauh atau keperluan prestasi yang lebih tinggi. Oleh yang demikian, berkemungkinan sektor kenderaan terpakai, terutamanya motosikal dan kereta kecil dan kompak, akan melihat peningkatan permintaan. Motosikal dalam kategori 150-250cc dan kereta kecil dan kompak yang lebih menjimatkan bahan api dijangka menjadi pilihan utama bagi mereka yang ingin mengurangkan kos. Pasaran ini akan berkembang selari dengan peningkatan kesedaran pengguna untuk mencari kenderaan yang lebih efisien.

Peningkatan penggunaan motosikal juga membawa cabaran dari segi keselamatan jalan raya. Pada tahun 2021, kadar kemalangan maut yang melibatkan penunggang motosikal adalah lebih empat kali ganda berbanding kemalangan melibatkan kereta. Seiring dengan peningkatan bilangan penunggang di jalan raya, usaha untuk meningkatkan kesedaran keselamatan perlu dipertingkatkan. Resolusi Perhimpunan Agung PBB 74/299 (2020) menetapkan sasaran untuk mengurangkan kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50% dari tahun 2021 hingga 2030. Oleh itu, kempen keselamatan jalan raya, pendidikan tentang teknik menunggang yang selamat dan penambahbaikan infrastruktur perlu diberikan keutamaan.

Selain soal keselamatan, pengguna motosikal juga perlu peka terhadap teknologi terkini yang boleh meningkatkan prestasi dan keselamatan kenderaan mereka. Sektor pasaran aksesori automotif akan menyaksikan lonjakan permintaan terhadap teknologi yang dapat mengurangkan penggunaan bahan api dan meningkatkan prestasi motosikal. Namun, pengguna harus berhati-hati dengan produk yang tidak sah atau tidak mempunyai pengesahan dari pihak berwajib seperti SIRIM. Teknologi keselamatan dan prestasi yang betul akan membantu pengguna mengurangkan kos, sambil memastikan keselamatan di jalan raya.

Secara keseluruhan, penghentian subsidi petrol bakal mempercepatkan peralihan kepada motosikal sebagai alternatif pengangkutan. Namun, langkah-langkah keselamatan yang lebih baik serta kesedaran terhadap teknologi keselamatan kenderaan harus diberi keutamaan untuk mengekalkan kesejahteraan pengguna jalan raya. Peningkatan motosikal di jalan raya memerlukan penekanan kepada keselamatan dan kesedaran yang lebih mendalam untuk mengekang kadar kemalangan, sambil memanfaatkan peluang yang ada melalui inovasi dan perkembangan teknologi dalam sektor automotif.

 

 

Prof. Dr. Ahmad Jais bin Alimin

Penyelidik Utama

Pusat Kajian Tenaga & Persekitaran Industri

Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Berita Harian (muka surat: 11), 26 Oktober 2024: Rasionalisasi RON95 jadikan motosikal kenderaan lebih efisien

 

2. Berita Harian (bharian.com.my), 26 Oktober 2024: Rasionalisasi RON95 jadikan motosikal kenderaan lebih efisien

Rasionalisasi RON95 diunjur tingkat pemilikan motosikal demi penjimatan

 

3. Utusan Malaysia (muka surat: 16), 28 Oktober 2024: Tarik subsidi petrol, apa kesan kepada pengguna motosikal? 

 

4. Utusan (utusan.com.my), 28 Oktober 2024: Tarik subsidi petrol, apa kesan kepada pengguna motosikal?

Tarik subsidi petrol, apa kesan kepada pengguna motosikal?

 

5. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 4 November 2024: Penyasaran subsidi petrol: Implikasi dan keselamatan penggunaan motosikal 

Penyasaran subsidi petrol: Implikasi dan keselamatan penggunaan motosikal