Oleh Suriayati Baharom
PAGOH – Bagi menyemarakkan lagi semangat kecintaan staf terhadap universiti sambil memupuk kerjasama dengan komuniti setempat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan ‘Karnival UTHM Prihatin @ Pagoh 2024’ pada 20 Oktober 2024 lalu bertempat di UTHM Kampus Cawangan Pagoh.
Karnival tersebut diadakan bertujuan untuk memupuk jalinan muafakat antara semua kelompok staf dan penduduk kampung sekitar kampus Pagoh, sekali gus membantu universiti mencapai hala tujunya iaitu ke arah menjadi Global Technopreneur University (GTU2030).
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahruddin Mahzan @ Md. Zin, wakil rasmi Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti hadir menyempurnakan ‘Majlis Perasmian Karnival UTHM Prihatin @ Pagoh’ bertempat di Dewan A9, Kolej Kediaman Kampus Pagoh.
Beliau dalam ucapannya berkata penganjuran karnival itu bukan sahaja bertujuan memupuk semangat setia dan dedikasi staf kepada universiti, malah sebagai usaha mewujudkan persekitaran kerja yang sihat untuk semua warga kampus.
Tambah beliau, penglibatan sosial UTHM dalam komuniti Pagoh juga dapat diterjemahkan melalui penganjuran pelbagai aktiviti sosial, sukan serta kebajikan.
“Karnival ini juga mampu mempromosikan UTHM sebagai sebuah universiti yang prihatin terhadap pembangunan holistik warganya, yang mana program-program komuniti dan kebajikan menjadi sebahagian penting kepada fungsi dan identiti universiti,” katanya.
Hadir sama, Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Prof. Madya Dr. Afandi Ahmad; Ketua Pustakawan Perpustakaan Tunku Tun Aminah, Zaharah Abd Samad merangkap Ketua Kluster UTHM Prihatin dan Pegawai-pegawai Kanan universiti serta Ketua-ketua Kampung sekitar kawasan Pagoh.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan bagi memeriahkan karnival antaranya gotong-royong memasak bersama penduduk kampung, konvoi bermotor dari kampus induk ke kampus Pagoh, acara sukaneka, pertandingan memasak ‘Gegor Dapo’ dengan penampilan selebriti Sheila Rusly sebagai juri, program ‘Ziarah Kasih’ dan bantuan asnaf melibatkan beberapa kampung, ‘Bicara Kesihatan’ oleh pempengaruh Dr Mani serta Majlis Pelancaran Jualan Amal Karya Seni Pelajar oleh Yayasan UTHM.
Turut diadakan, pemeriksaan kesihatan dan gigi secara percuma oleh Klinik Syafi dan Klinik Putra, pameran ‘Seni Amal Lukisan Pelajar’ dari Pusat Pengajian Diploma, slot perkongsian ilmu oleh Pusat Hubungan Industri Dan Masyarakat (ICRC) serta jualan rahmah dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNHEP) dan Pasar Tani Yayasan UTHM.
Berita ini juga diterbitan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 23 Oktober 2024: UTHM anjur Karnival Prihatin@ Pagoh