Oleh Nur Afifah Abdul Razak, Suriayati Baharom

PUTRAJAYA – Hampir 300 alumni Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hadir memeriahkan Program Siri Jelajah Alumni UTHM bersama Naib Canselor (Zon Tengah) yang diadakan di The Everly, Putrajaya pada 12 Oktober 2024.

Selain sebagai usaha mempromosi UTHM, program anjuran Pusat Kemajuan kerjaya dan Alumni dengan kerjasama Pejabat Hubungan Industri dan Masyarakat, Pejabat Pemasaran dan Komunikasi korporat serta Yayasan UTHM itu diadakan bertujuan menyatupadukan, menghubungkan dan merapatkan lagi hubungan UTHM dengan masyarakat secara menyeluruh dengan pelaksanaan aktiviti bermanfaat.

Program tersebut juga bertujuan memperkasakan lagi hubungan kerjasama antara alumni PLSP/ITTHO/KUiTTHO/UTHM dan industri, serta memperluaskan lagi keterlihatan UTHM di zon tengah.

Naib Canselor, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim hadir menyempurnakan program tersebut sekali gus merasmikan Majlis Minum Petang Alumni UTHM.

Beliau turut mengambil peluang untuk beramah mesra dan menyantuni hampir 300 alumni yang sebahagiannya hadir bersama keluarga masing-masing.

Dato’ Ruzairi dalam ucapannya menyeru para alumni yang hadir untuk memberi sokongan dan kerjasama dalam menyumbang tenaga, dana mahupun idea agar dapat memberi manfaat kepada warga UTHM, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

“Saya berharap pertemuan kita pada hari ini merupakan pertemuan yang amat bermakna dan memberi kesan yang sangat mendalam.

“Diharapkan juga kita dapat membawa kebersamaan kita dalam memperkenalkan UTHM sebagai Universiti Teknikal Malaysia, khususnya di zon tengah agar lebih ramai berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada warga UTHM,” katanya.

Pada majlis tersebut, Dato’ Ruzairi turut melancarkan kempen ‘1 Alumni RM1’ sebagai inisiatif alumni menyumbang kepada pembangunan universiti yang lebih mampan.

Turut disampaikan, watikah perlantikan Ketua Pewakilan Alumni Zon Tengah iaitu Ts. Syed Mohamad Syahir Syed Mazlan.

Bagi meraikan kehadiran pengunjung, UTHM turut memberi nombor plat kenderaan kepada alumni yang hadir, selain mengadakan pameran pendidikan serta sesi cabutan bertuah.

Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan deklamasi puisi oleh alumni UTHM tahun 2018, diiringi alunan instrumental biola dan gitar.

Sementara itu, pihak Yayasan UTHM turut memberi sumbangan wang tunai berjumlah RM2,500 kepada asnaf dan golongan B40 sekitar Putrajaya.

Turut berlangsung di sebelah pagi, program ‘Yes! Rock the School’ bersama pelajar sekolah sekitar putrajaya serta ‘Bengkel Penyelidikan dan Focus Group Discussion (FGD)’ melibatkan penyertaan 15 industri yang terkemuka di Malaysia.

Hadir sama,  Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti; Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi); Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid bin Abdul Razzaq, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); Prof. Madya. Ir. Ts. Dr. Muhammad Saufi Kamarudin, Pengarah PKKA; Prof. Madya Ts. Dr. Asmarashid Ponniran, wakil rasmi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa); Prof. Eur Ing. Ir. Ts. Dr. Shahiron Shahidan, Pengarah Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat serta Prof. Madya Ts. Dr. Elmy Johana Mohamad, Pengarah PPKK.

 

Naib Canselor UTHM bersama sebahagian alumni yang hadir.