Oleh PM Dr. Siti Fatimah Zaharah M Fuzi
PAGOH – Bertemakan ‘TechFusion Career Expo’, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dengan kerjasama Pusat Kemajuan Kerjaya & Alumni, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berganding bahu menjayakan program ‘Career Fair 2024’ yang diadakan pada 10 Oktober 2024 bertempat di Dewan Serbaguna A9, Kolej Kediaman Kampus Pagoh.
Dalam usaha meningkatkan peluang kebolehpasaran graduan, khususnya bagi pelajar yang akan menjalani latihan industri pada semester hadapan, FAST dan FTK saling bekerjasama untuk memperkasa serta mempersiapkan para pelajar sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan.
Program itu juga menjadi platform kepada kedua-dua fakulti untuk menyantuni dan menghargai sumbangan besar rakan industri yang telah lama berkolaborasi dengan UTHM dalam menyokong pendidikan, pembangunan pelajar dan penyelidikan.
Antara bentuk sokongan dan kerjasama yang diberikan termasuklah menyediakan peluang latihan industri dan work-based learning (WBL) untuk pelajar dan menyumbang kepada program pembelajaran melalui kerjasama bidang penyelidikan atau tajaan.
Selain itu, penganjuran Career Fair 2024 itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan wakil industri, mendapatkan pandangan mengenai prospek kerjaya serta memperolehi maklumat mengenai peluang pekerjaan yang tersedia.
Ia juga membolehkan pelajar mengenal pasti kemahiran tambahan yang diperlukan untuk berjaya dalam sektor pekerjaan yang semakin kompetitif.
Pada masa yang sama, FAST dan FTK turut menghargai sumbangan rakan industri yang telah menjalinkan kerjasama melalui Memorandum of Agreement (MOA) atau Memorandum of Understanding (MOU).
Kerjasama itu memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antara UTHM dan rakan industri, selain menyokong pembangunan pelajar melalui latihan industri, WBL, penyelidikan dan sebarang bentuk kerjasama lain.
Program tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti pameran daripada industri bagi membolehkan pelajar mendapatkan maklumat berkaitan latar belakang syarikat, budaya kerja serta peluang pekerjaan yang ditawarkan.
Selain itu, terdapat juga sesi temuduga terbuka yang mana pelajar berpeluang untuk menjalani temuduga secara langsung dengan wakil syarikat bagi memberi mereka pengalaman temuduga sebenar serta peluang untuk ditawarkan jawatan atau latihan industri.
Turut diadakan, booth penyediaan resume dan simulasi temuduga yang bertujuan untuk memperlengkapkan pelajar dengan kemahiran menulis resume yang profesional serta tip menghadapi temuduga dengan lebih yakin.
Selain itu, sebagai tanda penghargaan kepada pihak industri, FAST telah menganjurkan bengkel ‘Microsoft Excel Training’ secara percuma yang dikendalikan oleh Jurulatih/Pensyarah FAST bertauliah iaitu Ts. Dr. Suhadir Shamsuddin.
Menurut penyelaras program, Ts. Dr. Siti Hana Nasir yang juga Pensyarah FTK, pelajar bukan sahaja berpeluang untuk menjalin hubungan dengan bakal majikan, tetapi juga memperoleh pengetahuan yang amat berharga tentang tuntutan dunia pekerjaan.
“Ini memberi mereka kelebihan daya saing dalam mempersiapkan diri menghadapi cabaran kerjaya,” katanya.