BATU PAHAT – Menyedari perubahan di dalam ekosistem pendidikan tinggi selepas pandemik Covid-19, penggunaan e-buku merupakan salah satu usaha ke arah merealisasikan agenda Pelan Strategik Pendigitalan Kementerian Pengajian Tinggi 2021 – 2025 iaitu dibawah pelan strategi ke 2, pemantapan infrastruktur ICT bagi menyokong pendigitalan Pendidikan Tinggi.

Justeru itu, rakan kolaborasi daripada industri iaitu Elsevier telah memilih UTHM sebagai perintis dalam mengaplikasikan penggunaan e-buku ScienceDirect.

Rentetan itu, satu sesi Pertukaran Dokumen Perlesenan Koleksi e-Buku antara ELsevier dengan UTHM telah diadakan pada 30 September 2024 lalu sempena berlangsungnya 3rd Elsevier-MTUN Symposium 2024 di Kuantan, Pahang.

Kolaborasi yang bermula pada tahun 2022 bertujuan memperkasakan penggunaan bahan rujukan digital/elektronik sebagai bahan rujukan kurikulum utama di dalam subjek pengajaran dan pembelajaran semasa kuliah oleh pensyarah dan pelajar.

Lebih daripada 12,000 judul boleh diakses secara teks penuh dan dimuat turun  meliputi subjek  Engineering, Materials Science, Chemical Engineering dan Energy.

Melalui kerjasama tersebut, UTHM dapat memanfaatkan latihan berkala yang disediakan oleh pihak Elsevier di samping program-program pemindahan ilmu yang disediakan dari semasa ke semasa.

Ini ditambah pula anggaran 150 hingga 200 judul e-buku ScienceDirect akan menjadi milik UTHM sepenuhnya pada setiap tahun langganan.

Pendigitalan di dalam institusi pendidikan tinggi telah mentransformasikan kaedah pengajaran dan pembelajaran berorientasikan konsep “anyone, anytime, anywhere, anyhow.”

Secara tidak langsung usaha seumpama ini menyokong aspirasi TVET Digital menjelang tahun 2025 serta inisiatif pendigitalan institusi yang disasarkan dalam Pelan Strategik UTHM 2021-2025.