Sejak akhir-akhir ini, isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) semakin menjadi hangat dibincangkan dalam kalangan masyarakat Malaysia, terutama dengan peningkatan kesedaran tentang tanggungjawab sosial dan etika dalam dunia perniagaan. Banyak syarikat kini terlibat dalam kontroversi berkaitan pelanggaran prinsip ESG, termasuk isu eksploitasi pekerja seperti penggunaan buruh paksa yang berisiko mencemarkan imej negara di mata dunia.

Salah satu aspek yang sering mendapat perhatian adalah pencemaran alam sekitar. Data daripada Jabatan Alam Sekitar Malaysia menunjukkan terdapat lebih 100 kes pencemaran sungai yang melibatkan sektor industri dari tahun 2020 hingga 2022. Isu ini menimbulkan kebimbangan tentang pengurusan sisa industri dan kesannya terhadap ekosistem dan kesihatan awam.

Dari aspek tadbir urus pula, beberapa syarikat berdepan isu ketelusan dan akauntabiliti. Contohnya, ketidakpatuhan terhadap amalan pelaporan kewangan yang telus, termasuk dalam pelaporan cukai, telah menimbulkan persoalan mengenai integriti tadbir urus korporat. Kepercayaan pelabur terhadap sesebuah syarikat boleh terhakis jika isu ini tidak ditangani dengan serius.

Hari ini, prinsip ESG bukan lagi pilihan, tetapi menjadi salah satu faktor penentu dalam banyak keputusan perniagaan. Ini terutama sekali bagi syarikat-syarikat multinasional yang melihat kelestarian sebagai aspek penting dalam operasi mereka. Pemantauan terhadap kepatuhan ESG juga semakin ketat dan syarikat yang gagal memenuhi standard ini berisiko menjejaskan reputasi mereka di peringkat antarabangsa.

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memainkan peranan penting dalam ekonomi negara, dengan menyumbang lebih daripada 38% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan hampir 50% peluang pekerjaan. Namun, bagi memastikan daya saing di peringkat antarabangsa, PKS perlu mengambil langkah strategik yang lebih holistik, termasuk mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang baik. Amalan ESG bukan sahaja relevan untuk meningkatkan reputasi dan imej perniagaan, malah ia boleh membantu PKS mencipta dan membuka pintu kepada lebih banyak peluang dalam rantaian bekalan global.

 

Alam sekitar: Mengurus impak dan peluang hijau

Komponen alam sekitar dalam ESG menekankan kepentingan mengurangkan jejak karbon, meminimumkan pencemaran dan mengurus sumber secara lestari. Di Malaysia, PKS memerlukan sumber tenaga yang tinggi, terutamanya dalam sektor pembuatan, pertanian dan pembinaan. Oleh itu, pengurusan sumber tenaga secara lebih efisien bukan sahaja dapat mengurangkan kesan negatif kepada alam sekitar, malah membantu PKS menjimatkan kos operasi.

Sebagai contoh, penggunaan teknologi hijau dalam pengeluaran boleh mengurangkan penggunaan tenaga dan bahan mentah. Menurut laporan Suruhanjaya Tenaga Malaysia, syarikat yang melaksanakan langkah pengurangan penggunaan tenaga telah berjaya mengurangkan kos elektrik sehingga 15%. PKS boleh memanfaatkan inisiatif kerajaan seperti Geran Teknologi Hijau untuk melabur dalam peralatan yang lebih cekap tenaga dan mesra alam.

Selain itu, langkah seperti pengurusan sisa yang lebih baik dan penggunaan bahan kitar semula juga memberi impak positif kepada kelestarian perniagaan. Bagi sektor pembuatan, kajian menunjukkan bahawa amalan kitar semula dapat mengurangkan kos pengeluaran sebanyak 20%, serta membantu mengurangkan pencemaran.

PKS yang mengamalkan amalan hijau boleh memanfaatkan peluang dalam rantaian bekalan global. Syarikat multinasional yang berpangkalan di negara-negara maju memberi keutamaan kepada pembekal yang mematuhi standard alam sekitar. Ini bermakna PKS yang mengamalkan ESG mempunyai kelebihan dalam menjadi rakan kongsi pilihan syarikat antarabangsa yang terlibat dalam pelbagai sektor seperti pembuatan, teknologi dan makanan serta minuman.

 

Sosial: Membangun komuniti dan kesejahteraan pekerja

Aspek sosial dalam ESG pula menekankan tanggungjawab terhadap pekerja, pelanggan dan masyarakat setempat. Dalam konteks PKS, syarikat perlu memastikan kebajikan pekerja, menyediakan persekitaran kerja yang selamat, serta menjaga kesejahteraan sosial komuniti yang terlibat dalam perniagaan. Menurut statistik Jabatan Buruh menunjukkan bahawa lebih daripada 40% tenaga kerja sektor swasta terdiri daripada pekerja PKS.

PKS perlu berusaha untuk menjaga kebajikan pekerja dengan menyediakan tempat kerja yang selamat, latihan yang berterusan dan gaji yang berpatutan akan lebih berjaya dalam menarik dan mengekalkan tenaga kerja berbakat. Syarikat yang menjaga kebajikan pekerja juga mampu meningkatkan produktiviti yang lebih tinggi.

Di samping itu, amalan tanggungjawab sosial dapat membina reputasi yang positif dalam kalangan pelanggan. Menurut kajian, lebih daripada 66% pengguna global bersedia membayar harga lebih tinggi untuk produk atau perkhidmatan daripada syarikat yang mengamalkan tanggungjawab sosial dan kelestarian alam sekitar. Ini menunjukkan bahawa PKS yang menekankan ESG tidak hanya boleh memenangi hati pelanggan tempatan tetapi juga berpeluang menarik pelanggan antarabangsa yang mengutamakan produk yang dihasilkan dengan bertanggungjawab terhadap ESG.

Selain itu, tanggungjawab sosial juga boleh dilihat dari aspek memberi kembali kepada komuniti setempat. PKS yang melibatkan diri dalam program komuniti, seperti program latihan untuk belia atau usaha menjaga alam sekitar, akan membina hubungan yang lebih kukuh dengan komuniti tempatan. Amalan ini dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap produk dan perniagaan mereka dalam jangka panjang.

 

Tadbir urus: Telus, beretika dan berdaya tahan

Aspek tadbir urus dalam ESG pula memberi tumpuan kepada kepatuhan terhadap undang-undang, pengurusan risiko dan ketelusan dalam pentadbiran syarikat. Tadbir urus yang baik amat penting bagi PKS, terutamanya dalam memastikan integriti perniagaan dan membina kepercayaan pelanggan serta rakan kongsi. Syarikat yang terlibat dalam amalan tadbir urus yang lemah sering terdedah kepada risiko kewangan dan kehilangan kepercayaan pasaran.

Bagi PKS yang ingin menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global, amalan tadbir urus yang telus dan beretika adalah prasyarat penting. Syarikat multinasional sering menjalankan audit ketat terhadap pembekal mereka untuk memastikan pematuhan kepada undang-undang dan piawaian tadbir urus. PKS yang mempunyai rekod tadbir urus yang baik akan lebih mudah diterima sebagai rakan kongsi dalam rantaian bekalan ini.

Sebagai contoh, PKS perlu memastikan bahawa mereka mempunyai dasar yang jelas mengenai pengurusan risiko, termasuk mematuhi undang-undang perlindungan data dan peraturan antirasuah. Laporan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan bahawa sektor swasta juga terdedah kepada amalan rasuah, yang boleh menjejaskan kredibiliti syarikat. Oleh itu, PKS perlu meningkatkan ketelusan, melaksanakan sistem kawalan dalaman yang ketat, dan memastikan tadbir urus yang beretika untuk menghadapi cabaran dalam rantaian bekalan global.

 

Cabaran melaksanakan ESG

Namun, terdapat beberapa cabaran dalam melaksanakan ESG. Kos permulaan untuk memulakan amalan ESG mungkin tinggi bagi PKS yang mempunyai sumber kewangan yang terhad. Pelaburan dalam teknologi hijau, latihan pekerja dan pengurusan tadbir urus mungkin memerlukan modal yang besar. Di samping itu, banyak PKS mungkin masih kurang kesedaran tentang kepentingan ESG dan bagaimana ia boleh diaplikasikan.

Cabaran lain yang dihadapi PKS ialah menyeimbangkan keuntungan dengan tanggungjawab sosial. PKS sering berada di bawah tekanan untuk memastikan keuntungan perniagaan sambil mengekalkan tanggungjawab terhadap masyarakat dan alam sekitar. Walau bagaimanapun, dengan strategi yang betul, PKS dapat mencapai kedua-dua matlamat ini. Kajian telah menunjukkan bahawa syarikat yang mengamalkan ESG bukan sahaja mampu menarik pelaburan tetapi juga berpotensi meningkatkan keuntungan dalam jangka panjang.

 

Inisiatif kerajaan dan sokongan untuk PKS

Kerajaan Malaysia telah menyedari kepentingan ESG dan telah melancarkan pelbagai inisiatif untuk membantu PKS mengamalkan prinsip ini. Antaranya, Pelan Tindakan PKS Hijau bertujuan menggalakkan lebih banyak PKS melabur dalam teknologi hijau dan mengamalkan kelestarian dalam operasi mereka. Pelbagai insentif kewangan seperti Geran Teknologi Hijau dan Dana Pembangunan Teknologi Hijau disediakan untuk membantu syarikat yang ingin memulakan amalan ESG.

Selain itu, agensi seperti SME Corp dan MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) menyediakan sokongan latihan dan khidmat nasihat kepada PKS untuk meningkatkan pemahaman tentang ESG. Program latihan ini memberi tumpuan kepada cara-cara PKS boleh mengurangkan jejak karbon, memaksimumkan penggunaan sumber yang efisien, serta meningkatkan amalan tadbir urus yang baik.

Kesimpulannya dalam dunia perniagaan yang semakin kompetitif dan menitikberatkan kelestarian, PKS tidak boleh mengabaikan kepentingan amalan ESG. Dengan melaksanakan prinsip ESG, PKS bukan sahaja dapat mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar, tetapi juga membina reputasi yang baik, meningkatkan daya saing dan membuka pintu kepada lebih banyak peluang dalam rantaian bekalan global. Amalan ESG yang baik juga memberikan kelebihan dari segi akses kepada pelaburan, sokongan pelanggan dan kerjasama dengan syarikat multinasional.

Walaupun terdapat cabaran untuk melaksanakan ESG, sokongan daripada kerajaan dan pelbagai agensi berkaitan memberi PKS peluang untuk memanfaatkan amalan ini sebagai satu strategi yang mampan dalam menghadapi cabaran global. ESG bukan sahaja mengenai tanggungjawab sosial, tetapi juga tentang mencipta masa depan yang lebih mampan dan berdaya saing bagi PKS Malaysia dalam era ekonomi global._foto arkib NSTP

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Berita Harian (muka surat: 11), 1 Oktober 2024: Pematuhan ESG tingkat peluang PKS di pasaran global