PEKAN BARU – Seramai 10 pelajar Civil Engineering and Built Environment Postgraduate Society (CiBPS), Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai program mobiliti antarabangsa di Universitas Abdurrab (UNIVRAB), Pekan Baru, Indonesia pada 27 September hingga 4 Oktober 2024.

Bertemakan ‘Civil Engineering Horizon: Next-Gen Knowledge Transfer,’ program yang diketuai oleh Muhammad Syakirin Rahmat itu telah diselaraskan oleh Prof. Madya Ir. Dr. Shahrul Niza Mokhatar dan Penasihat CiBPS, Dr. Tuan Norhayati Tuan Chik.

Menurut Dr. Shahrul Niza, program itu bertujuan untuk memperkukuh kerjasama akademik, pertukaran pengetahuan dan budaya antara kedua-dua universiti, serta memanfaatkan kepakaran dalam bidang kejuruteraan awam serta pembangunan komuniti.

“Sepanjang program di UNIVRAB, pelbagai aktiviti telah dijalankan untuk mengukuhkan pertukaran pengetahuan dan mempererat hubungan antara kedua-dua universiti,” katanya.

Antaranya penganjuran bersama “International Stick Bridge Competition“, yang mana pertandingan dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu kategori universiti dan kategori sekolah menengah.

Sebanyak 17 kumpulan yang menyertai pertandingan itu dari sekolah dan universiti sekitar Riau.

Pertandingan itu telah memberi peluang kepada peserta daripada pelbagai peringkat pendidikan untuk mempamerkan inovasi dan kreativiti mereka dalam membina model struktur jambatan yang kukuh dan efisien daripada penyepit kayu terpakai.

Seterusnya, satu sesi ‘Knowledge Colloquium’ telah diadakan bersama-sama pelajar dan pensyarah jurusan teknik sipil daripada UNIVRAB.

Pada sesi tersebut, pelajar pascasiswazah daripada FKAAB telah berkongsi ilmu serta penemuan-penemuan terbaru dalam bidang kajian masing-masing yang terdiri daripada pelbagai bidang kejuruteraan awam dan alam bina.

Antara bidang-bidang yang terlibat di dalam perkongsian ilmu itu adalah Geofizik, Geologi, Forensik Bangunan, Kejuruteraan Struktur dan Bahan.

Sesi perkongsian ilmu itu membantu pelajar UTHM, pensyarah dan pelajar dari UNIVRAB untuk saling berkongsi idea serta pengalaman dalam bidang masing-masing.

Selain itu, satu program khidmat masyarakat juga telah dilaksanakan bersama pelajar-pelajar sekolah menengah daripada Abdurrab Islamic School.

Melalui program itu, para pelajar diajar mengenai kaedah membuat sabun pencuci pinggan daripada minyak masak terpakai.

Aktiviti itu bukan sahaja mendidik pelajar tentang kepentingan kitar semula dan kelestarian alam sekitar, tetapi juga menggalakkan mereka untuk memanfaatkan sumber yang ada secara kreatif.

Program itu juga berupaya membuka mata pelajar mengenai potensi sisa dapur sebagai bahan berguna sekali gus memberi inspirasi kepada mereka untuk lebih peka terhadap penjagaan alam sekitar.

Di samping itu, Hanim Sofea Harmiyn Sany, pelajar Sarjana FKAAB telah diberi peluang untuk memberi ceramah motivasi dan dorongan berkaitan perjalanan akademik sebagai seorang mahasiswa dalam satu sesi ‘Kegiatan Pengenalan Kehidupan Kampus Bagi Mahasiswa Baharu’ yang dijalankan di UNIVRAB.

Dalam sesi tersebut, Lagu ‘Gemilang UTHM’ juga turut dikumandangkan di dalam Susiana Tabrani Convention Hall sebagai langkah mempromosikan UTHM.

“Dengan terlaksananya program seumpama itu, ia bukan sahaja dapat memperkukuh hubungan akademik antara UTHM dan UNIVRAB, tetapi juga membuka jalan kepada lebih banyak kerjasama peringkat antarabangsa pada masa hadapan,” tambah Dr. Shahrul Niza.