Oleh Suriayati Baharom
BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersedia menawarkan pelbagai bentuk bantuan termasuk pemberian zakat dan pinjaman tanpa faedah kepada pelajar yang tidak berkemampuan bagi membantu mereka menyambung pengajian ke universiti.
Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim berkata UTHM amat mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan para pelajarnya.
“Pihak universiti sebelum ini ada menawarkan 11 produk kebajikan pelajar antaranya Tabung Zakat Pelajar, Tabung Pinjaman Pelajar, Dana Wang Ihsan serta program bantuan makanan Sabil Al-Hikmah dan Food Bank Siswa bagi mengurangkan beban sara hidup mereka sepanjang tempoh pengajian.
“Manakala bagi menjaga kesejahteraan pelajar, UTHM turut menawarkan beberapa bantuan lain seperti Skim Bantuan Mahasiswa OKU, Insurans Berkelompok Pelajar, Skim Bantuan Mahasiswa Orang Asli, Skim Pelajar Bekerja, Surat Jaminan Hospital dan Khairat Kematian,” katanya.
Jelas Dato’ Ruzairi lagi, UTHM ada menyediakan Tabung Pinjaman Pelajar tanpa faedah bagi membantu para pelajar yang memerlukan menjelaskan yuran pengajian masing-masing.
Manakala bantuan zakat pula diberikan kepada para pelajar asnaf termasuk fakir, miskin, gharim dan fisabilillah bagi membantu mereka menampung kos sara hidup dan menjelaskan yuran pengajian.
Sementara itu, Dana Ihsan seperti bantuan yuran pengajian, sara hidup, bencana alam dan musibah juga turut diberikan kepada golongan pelajar B40 yang mempunyai masalah kewangan sepanjang tempoh pengajian.
Tambah beliau, bagi membantu pelajar yang mengalami kesempitan kewangan untuk membeli makanan, pihak universiti turut memberi bantuan makanan secara ‘food pack’ melalui program Sabil Al-Hikmah.
Selain itu, sebagai tanda prihatin kepada golongan pelajar B40, UTHM turut melaksanakan program ‘Food Bank Siswa’ dengan mengedarkan makanan kering dan food pack setiap bulan kepada mereka yang memerlukan.
Menariknya, sumber dana kedua-dua program itu adalah hasil sumbangan para dermawan dan juga potongan gaji staf.
Malah, pelajar yang tidak berkemampuan juga akan diberikan bantuan komputer riba untuk memudahkan mereka menghadapi sesi pembelajaran kelak.
“Usaha-usaha ini adalah bagi membantu anak bangsa meneruskan pengajian di institut pengajian tinggi sekali gus menyokong hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang ingin melahirkan bakat terbaik negara.
“Justeru itu, saya mewakili universiti ingin menyeru calon-calon yang terpilih untuk membulatkan tekad, meneruskan hasrat tanpa menganggap kesempitan hidup sebagai halangan untuk melanjutkan pengajian ke menara gading,” pesan beliau.
Berita ini juga diterbitkan di:
1. Utusan (utusan.com.my), 21 September 2024: UTHM beri bantuan zakat, pinjaman tanpa faedah bantu pelajar tidak berkemampuan
UTHM beri bantuan zakat, pinjaman tanpa faedah bantu pelajar tidak berkemampuan (utusan.com.my)
2. Sinar Harian (sinarharian.com.my), 21 September 2024: UTHM beri bantuan zakat, pinjaman tanpa faedah bantu pelajar kurang mampu
UTHM beri bantuan zakat, pinjaman tanpa faedah bantu pelajar kurang mampu – Sinar Harian
3. Buletin Tv3 (buletintv3.my), 21 September 2024: UTM dan UTHM sedia pelbagai inisiatif bantu pelajar baharu kurang berkemampuan
4. Edisi Viral (edisiviral.com), 21 September 2024: UTHM beri bantuan zakat, pinjaman tanpa faedah bantu pelajar tidak berkemampuan
UTHM Beri Bantuan Zakat, Pinjaman Tanpa Faedah Bantu Pelajar Tidak Berkemampuan – Edisi Viral Plus
5. Sinar Harian (muka surat: 10), 22 September 2024: UTHM beri zakat, pinjaman tanpa faedah bantu pelajar tidak berkemampuan