Dalam era Kecerdasan Buatan (AI), trend pekerjaan berubah cepat seiring dengan perubahan teknologi yang mempengaruhi cara kerja dan memerlukan adaptasi yang cepat. Menurut laporan World Economic Forum (WEF), ancaman AI terhadap pekerjaan di seluruh dunia perlu diambil perhatian yang serius. Pekerja berisiko menghadapi ancaman kehilangan pekerjaan disebabkan oleh penggunaan teknologi AI yang berkembang pesat. Namun, adakah pekerja kita bersedia menghadapi transformasi ini?

AI telah merevolusi hampir setiap aspek kehidupan, termasuk dalam pelbagai industri. Dalam sektor pekerjaan masa depan, teknologi AI memainkan peranan penting dalam mengubah cara kerja dan mencipta peluang baharu. Walaupun begitu, kehadiran AI juga membawa ancaman kepada pekerja.

Ancaman terhadap pekerjaan: Adakah pekerja kita bersedia?

Menurut kajian WEF, dalam tempoh lima tahun akan datang, sekurang-kurangnya 83 juta pekerjaan akan lenyap di seluruh dunia disebabkan oleh perkembangan teknologi AI. Berdasarkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), AI bakal memberi kesan kepada hampir 40 peratus pekerjaan di seluruh dunia. Pada tahun 2030, lebih daripada 4.5 juta pekerja di Malaysia berisiko kehilangan pekerjaan akibat ancaman AI. Adakah pekerja kita bersedia menghadapi realiti ini?

Sektor perkhidmatan asas, termasuklah pekerjaan khidmat pelanggan, akan mengalami penurunan terbesar, dengan chatbox berasaskan AI menggantikan peranan tersebut. Menurut kajian, hampir 40% daripada pekerjaan di sektor perkhidmatan akan terjejas oleh AI dalam tempoh beberapa dekad akan datang. Sektor ini yang sebelum ini bergantung kepada interaksi manusia dalam memberikan perkhidmatan kini akan melihat penurunan ketara dalam permintaan terhadap pekerja manusia.

Selain itu, hampir 60% daripada pekerja dalam industri pembuatan menghadapi risiko kehilangan pekerjaan akibat AI. Industri pembuatan yang banyak bergantung kepada proses pekerjaan berulang menghadapi risiko yang tinggi. Menurut data dari Jabatan Perangkaan Malaysia, pengeluaran produk elektronik merupakan penyumbang utama kepada eksport Malaysia dan peluang pekerjaan. Perlaksanaan AI dan automasi dalam proses pengeluaran akan mengurangkan permintaan terhadap pekerjaan fizikal dan menjejaskan peluang pekerjaan yang sedia ada.

Peluang baharu: Adakah pekerja kita bersedia mengambilnya?

Walau bagaimanapun, di sisi lain, sebanyak 69 bentuk pekerjaan baru dijangka akan tercipta, kebanyakannya berorientasikan kepada AI dan teknologi baharu. AI bakal mencipta 97 juta pekerjaan baharu di seluruh dunia. Sementara itu, Malaysia akan mengalami peningkatan sebanyak 30 hingga 35 peratus, iaitu 1.4 juta pekerjaan dalam sektor pekerjaan Analisis Data, Pakar Data Raya, Penganalisis Risikan Perniagaan, Jurutera Data dan pelbagai pekerjaan baharu lain yang berkaitan. Ini menunjukkan perubahan yang ketara dalam landskap pekerjaan negara menjelang tahun 2030. Persoalannya, adakah pekerja kita bersedia untuk mengambil peluang ini?

Pemahaman tentang AI: Kunci kesediaan pekerja

Pekerja perlu mempunyai pengetahuan tentang AI, termasuk teknologi dan aplikasi AI. Ini melibatkan teknologi pembelajaran mesin, pengaturcaraan dan aplikasi AI dalam sektor industri masing-masing. Semakin tinggi pengetahuan mereka tentang teknologi ini, semakin mudah bagi mereka untuk bersedia menghadapi cabaran yang berkaitan dengan AI.

AI diprogram untuk melakukan tugas tertentu dengan cepat dan tepat. Walau bagaimanapun, ia juga mempunyai kelemahan dan batasan, seperti kesulitan dalam memahami konteks yang kompleks atau keperluan data yang besar. Dengan pemahaman ini, pekerja industri dapat mengambil langkah-langkah untuk menghadapi dan mengatasi masalah yang mungkin timbul dengan penggunaan AI. Ini termasuk pelaksanaan sistem keselamatan yang sesuai, pengurusan data yang cekap dan penyesuaian kepada perubahan dalam teknologi.

Sebagai contoh, dalam industri pengeluaran, AI boleh digunakan untuk meningkatkan proses pengeluaran dan memperbaiki kualiti produk. Namun, ia memerlukan latihan yang khusus untuk pekerja dalam menggunakan dan mengurus sistem AI ini dengan berkesan. Dengan pengetahuan dan latihan yang mencukupi, pekerja mampu menjadikan AI sebagai alat yang berkesan dalam meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi mereka.

Mengenalpasti tugas-tugas yang berpotensi digantikan oleh AI

Pekerja perlu mengenal pasti tugas-tugas dalam pekerjaan mereka yang berpotensi digantikan oleh AI. Ini termasuk tugas-tugas rutin, berulang dan berstruktur yang boleh dilakukan dengan lebih cekap oleh sistem AI. Dengan mengenal pasti tugas-tugas ini, pekerja perlu mencari cara untuk menyesuaikan peranan mereka dan meningkatkan kemahiran mereka selaras dengan teknologi AI. Dengan cara ini, mereka dapat beradaptasi dengan perubahan teknologi dan terus relevan dalam pasaran pekerjaan yang semakin dinamik.

Peluang untuk meningkatkan kemahiran

Meskipun AI mungkin menggantikan beberapa tugas, ia juga membuka pintu kepada peluang baru. Pekerja industri perlu melihat ancaman AI sebagai peluang untuk meningkatkan kemahiran mereka. Terdapat keperluan untuk mempelajari kemahiran baharu yang lebih relevan dengan era digital, seperti analisis data, kecerdasan buatan atau penggunaan perisian khusus industri. Dengan meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang-bidang ini, pekerja dapat meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran pekerjaan yang kompetitif pada masa akan datang.

Keterlibatan dengan pembangunan AI

Pekerja industri juga perlu terlibat dalam pembangunan dan penggunaan AI dalam konteks pekerjaan mereka. Dengan memberikan input dan pandangan mereka kepada pembangun teknologi AI, mereka dapat memastikan bahawa teknologi ini dapat digunakan dengan cara yang paling berkesan dan bermanfaat. Ini termasuk memberikan maklum balas tentang keperluan pekerjaan sebenar dan mengenal pasti cara-cara yang mana AI dapat menyokong pekerja dalam melakukan tugas-tugas mereka dengan lebih baik.

Pendidikan dan latihan berterusan

Pendidikan dan latihan berterusan juga merupakan aspek penting dalam persediaan pekerja menghadapi ancaman AI. Kerajaan memperuntukkan keseluruhan RM6.8 bilion bagi memperkasakan bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di negara ini pada tahun 2024. Pekerja perlu mengambil peluang terhadap program latihan yang telah dirancang untuk meningkatkan kemahiran teknologi dan digital mereka, serta untuk membantu mereka menghadapi perubahan dalam sektor industri mereka. Kerjasama antara majikan, kerajaan dan institusi pendidikan juga dapat membantu memastikan bahawa pekerja mendapat akses kepada latihan yang sesuai dan relevan.

Namun, kajian menunjukkan bahawa hanya 20% daripada pekerja mengambil peluang terhadap program latihan yang ditawarkan. Ini menunjukkan keperluan yang lebih besar untuk meningkatkan kesedaran dan penglibatan dalam latihan berterusan. Oleh itu, penting bagi pekerja mengambil perhatian yang serius terhadap pendidikan dan latihan bagi mempersiapkan diri mereka dengan kemahiran yang diperlukan dalam era AI. Dengan meningkatkan pelbagai kemahiran dalam pembangunan kemahiran AI, keusahawanan dan kreativiti serta inovasi mampu mengurangkan kesan negatif dan memaksimumkan manfaat AI terhadap pekerja.

Fleksibiliti dan kreativiti

Ketika AI mengambil alih tugas-tugas rutin, pekerja industri perlu mengembangkan fleksibiliti dan kreativiti dalam menjalankan peranan mereka. Ini termasuk kemampuan untuk berfikir di luar kotak, mencari penyelesaian kreatif untuk masalah dan menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku dengan cepat. Pekerja yang mampu beradaptasi dan bertindak pantas dalam menghadapi perubahan teknologi akan mempunyai kelebihan yang tinggi dalam pasaran pekerjaan masa depan.

Jaringan dan kolaborasi

Jaringan profesional dan kolaborasi dengan rakan sekerja, industri dan pakar AI juga penting. Dengan berkongsi pengetahuan, pengalaman dan idea, pekerja dapat belajar dari satu sama lain dan mencipta persekitaran yang mana mereka dapat berkembang dan berinovasi bersama. Ini juga membuka peluang untuk kerjasama yang lebih baik dari pelbagai pihak dalam menghadapi cabaran dan mengambil peluang yang dibawa oleh AI.

Kesedaran akan isu etika dan privasi

Sejajar dengan kemajuan teknologi AI, penting bagi pekerja untuk meningkatkan kesedaran mereka terhadap isu-isu etika dan privasi yang berkaitan. Mereka perlu tahu implikasi moral dan sosial dari penggunaan teknologi ini dalam konteks pekerjaan mereka, serta memastikan data sensitif dan privasi dilindungi dengan sewajarnya.

Kesaksamaan peluang pendidikan dan latihan

Akhir sekali, adalah penting untuk memastikan bahawa transformasi industri yang disebabkan oleh AI adalah adil dan inklusif. Ini bermakna semua pekerja perlu memperoleh akses kepada peluang pendidikan dan latihan yang ditawarkan, serta memastikan bahawa tidak ada diskriminasi terhadap pekerja. Dengan cara ini, setiap pekerja mempunyai peluang yang sama untuk berkembang dan beradaptasi dengan perubahan teknologi yang berlaku.

Kesimpulan

Dengan mengambil pelbagai langkah ini, pekerja industri mampu menghadapi ancaman AI dalam sektor pekerjaan masa depan. Dengan pengetahuan terhadap AI, kemahiran pekerja dapat ditingkatkan dan terus relevan dalam era digital yang berkembang pesat. Ini memberi mereka kelebihan untuk beradaptasi dengan perubahan yang berlaku dalam pasaran pekerjaan dan memastikan mereka terus menjadi aset berharga dalam persekitaran kerja yang semakin kompleks dan dinamik. Jawapannya bergantung kepada persediaan dan komitmen pekerja dalam memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk terus relevan dan berdaya saing dalam era transformasi AI.

 

 

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)