Tambak Johor adalah laluan utama yang menghubungkan Singapura dengan Malaysia. Ia merupakan nadi penghubung yang penting bagi bagi sektor ekonomi dan pelancongan kedua negara. Ia juga dikenali sebagai salah satu lintasan sempadan darat yang paling sibuk di seluruh dunia.

Kesesakan lalu lintas ini adalah hasil dari pegerakan kebanyakannya rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura menggunakan kereta, motosikal dan berjalan kaki, berulang alik melintasi Tambak Johor setiap hari. Kesesakan paling ketara iaitu di waktu puncak yang mana rakyat Malaysia menuju ke Singapura pada 8 – 10 pagi dan petang kembali ke Johor Bahru pada 6 – 8 petang.

Kesesakan juga berlaku pada hujung minggu dan cuti umum di Singapura yang menyaksikan rakyat Singapura berpusu-pusu melintas sempadan untuk melancong dan membeli-belah di Johor. Kesan daripada kesesakan ini boleh menyebabkan kehilangan produktiviti, peningkatan pencemaran udara, stres kepada pengguna dan boleh menjejaskan ekonomi kedua-dua belah pihak.

Selain dari itu, kedudukan nilai matawang Singapura yang lebih tinggi menarik minat kepada ramai rakyat Malaysia untuk bekerja di Singapura. Kebanyakan menggunakan motosikal, pengangkutan awam seperti bas dan keretapi dan ada juga yang menggunakan kereta.

Rakyat Singapura pula apabila mereka merentas Tambak Johor, ramai yang menggunakan kenderaan persendirian seperti kereta dan motosikal kerana ini memudahkan pergerakan mereka di Malaysia. Ada juga yang menggunakan kereta api KTMB dan bas. Namun laluan terhad dan kekerapan perkhidmatan yang tidak menentu di Johor Baharu menyebabkan ia tidak menjadi pilihan utama warga Singapura.

Kedua-dua kerajaan telah mengambil inisiatif untuk mengurangkan tekanan dan kesesakan di Tambak Johor dengan menyediakan laluan rentas sempadan alternatif iaitu Link Kedua. Kewujudan Link Kedua, jambatan yang menghubungkan Tanjung Kupang di Johor ke Tuas di Singapura, sepatutnya mengurangkan kesesakan di Tambak Johor, namun Link Kedua juga mengalami nasib yang sama iaitu kesesakan di masa puncak sama seperti di Tambak Johor.

Ada juga yang mencadangkan untuk membina Link Ketiga, satu jambatan yang menghubungkan Punggol, Pasir Ris atau Changi di Singapura ke Pasir Gudang di Johor, Malaysia. Selain dari cadangan membina jambatan, ada juga yang mencadangkan pembinaan terowong bawah Selat Tebrau melalui laluan yang sama dengan cadangan laluan Link Ketiga. Namun buat masa ini ia hanya kekal sebagai cadangan sahaja

Cadangan yang menjadi kenyataan adalah pembinaan infrastruktur baharu, Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) yang menyediakan khidmat kereta api Transit Aliran Ringan (LRT) menjelang 2026 yang menghubungkan stesen RTS Bukit Chagar di Johor Bahru ke Stesen RTS Link di Woodlands North di Singapura. RTS dijangka akan mengurangkan kesesakan pengguna pengangkutan awam, namun ia tidak menjamin pengurangan kesesakan kenderaan persendirian di Tambak Johor.

Baru-baru ini kerajaan Malaysia dan Singapura mengumumkan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).  JS-SEZ melibatkan enam daerah di negeri Johor iaitu Johor Baharu, Iskandar Puteri, Kulai, Pontian, Kota Tinggi dan Pasir Gudang. Permintaan merentas sempadan kedua-dua negara ini dijangka akan meningkat dengan pelaksanaan zon tersebut.

Keadaan kesesakan di Tambak Johor yang semakin kronik menuntut kedua belah pihak untuk meneroka laluan alternatif yang baharu. Laluan yang belum diterokai secara serius adalah laluan air. Penggunaan laluan air menggunakan feri merentas Selat Tebrau, yang menjadi sempadan pemisah semula jadi antara Malaysia dan Singapura, boleh memberi penyelesaian kepada kemelut ini. Ini adalah kerana kesinambungan pengangkutan merentas sempadan memainkan peranan penting dalam perniagaan antarabangsa kerana ia akan memudahkan urusan perniagaan, mesyuarat dan aktiviti komersial.

Oleh itu mewujudkan perkhidmatan feri antara Terminal Feri Pasir Gudang dan Terminal Feri Changi untuk merentas Selat Tebrau merupakan alternatif yang wajar dipertimbangkan. Pasir Gudang menjadi pilihan kerana ia adalah salah satu daerah di bawah JS-SEZ dan ia juga pernah disebut-sebut sebagai laluan pilihan jambatan Link Ketiga. Walaupun Tambak Johor dan Link Kedua kekal sebagai laluan darat dominan, dengan adanya perkhidmatan feri, ia boleh menawarkan solusi yang menarik kepada masalah ini.

Perkhidmatan feri yang boleh ditawarkan adalah feri penumpang dan motosikal ala-feri Pulau Pinang. Perkhidmatan feri di Pulau Pinang ini boleh menampung 150 penumpang dan 50 motosikal setiap perjalanan. Ia menawarkan laluan alternatif kepada pengguna yang berulang alik antara pulau dan tanah besar di Pulau Pinang dengan menghubungkan Pengkalan Raja Tun Uda, Butterworth ke Pengkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Georgetown.

Perkhidmatan feri merentas Selat Tebrau berpotensi mengurangkan tekanan kesesakan Tambak Johor. Pengguna boleh memintas kesesakan di Tambak Johor dan ini akan mengurangkan masa perjalanan dengan ketara terutamanya pada waktu puncak dan cuti. Laluan ini memberi kelebihan kepada penduduk berdekatan kawasan Pasir Gudang yang bekerja di Singapura untuk memintas Tambak Johor bagi tujuan ke Singapura. Rakyat Singapura pula terutama yang menguna motosokal yang berhasrat ke Desaru boleh menggunakan perkidmatan ini kerana kedudukan Pasir Gudang mempunyai laluan terus ke Lebuhraya Senai Desaru di Johor.

Perkidmatan ini akan menjadi ‘novelty’ pilihan pelancong yang gemar menggunakan perkhidmatan yang unik untuk merentas sempadan. Selain itu syarikat perlancongan di Pasir Gudang boleh menawarkan perkidmatan membawa pelancong Singapura ke Desaru dari jeti feri Pasir Gudang. Ahli perniagaan yang terlibat dalam inisiatif JS-SEZ terutamanya di daerah Pasir Gudang dan Kota Tinggi juga boleh berulang alik menggunakan perkhidmatan feri ini.

Untuk menjadikan perkhidmatan ini satu realiti, beberapa faktor kritikal perlu dipertimbangkan. Pertama satu perancangan teliti yang mengambil kira pelaburan infrastruktur, kos operasi dan kelulusan kawal selia perlu dilaksanakan. Ini akan menjamin perkhidmatan yang akan memberi manfaat untuk penguna kedua-dua negara. Juga kerjasama antara kerajaan, pengusaha feri, pengendali jeti dan pelabuhan serta pihak berkepentingan yang lain amat penting untuk kejayaan perkhidmatan ini.

Selain itu usaha untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik pengguna tentang manfaat dan kemudahan perkhidmatan feri perlu diadakan. Apabila ada kesedaran, makin ramai yang akan berminat menggunakan perkhidmatan ini. Oleh itu menaik taraf khidmat sokongan seperti penambahan lorong kastam dan imigresen, melaksanakan e-gate dan memperkemaskan proses imigresen perlu dilaksanakan untuk menyantuni perkhidmatan ini.

Akhir sekali, integrasi dengan rangkaian pengangkutan awam sedia ada di kedua-dua negara adalah penting untuk kesinambungan perjalanan pengguna perkhidmatan ini.  Meningkatkan kekerapan dan keselesaan penumpang akan menjadikan perkhidmatan ini mesra pengguna. Dengan ada kesinambugan yang efisen, lebih ramai akan menggunakan pengangkutan awam ini.

Usaha untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas merentas sempadan adalah proses berterusan. Sebab itu kerajaan Singapura dan Malaysia sentiasa bekerjasama untuk melancarkan dan memudahkan proses ini. Oleh itu sudah tiba masanya untuk kedua pihak meneroka alternatif yang innovatif yang berpotensi memberi manafaat kepada rakyat. Penggunaan laluan air ini masih belum diterokai sepenuhnya dan potensi perkhidmatan feri penumpang ala-Pulau Pinang antara Pasir Gudang dan Changi adalah luas.

Dengan menangani cabaran dan memanfaatkan peluang yang ada, laluan air ini dapat merevolusikan perjalanan rentas sempadan, menawarkan pengalaman yang lebih lancar, efisien dan bebas stres untuk mereka yang merentas sempadan setiap hari. Mengimbangi manfaat ekonomi dengan keperluan untuk merentas sempadan yang cekap menjadi kunci kepada penyelesaian yang mampan dan perkhidmatan feri adalah satu penyelesaian alternatif yang dinanti-nantikan.

 

 

Mohamed Ismail bin KP Haji Pakir Mohamed

Pensyarah Kanan

Ketua Focus Group Manufacturing Technology Management

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Berita Harian (muka surat: 12), 23 September 2024: Feri Pasir Gudang-Changi mampu atasi kesesakan di Tambak Johor 

 

2. Berita Harian (bharian.com.my), 23 September 2024: Feri Pasir Gudang-Changi mampu atasi kesesakan di Tambak Johor 

Feri Pasir Gudang-Changi mampu atasi kesesakan di Tambak Johor (bharian.com.my)