Oleh Noor Farhanah Mohamad Amin
SINTOK – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya merangkul lapan pingat gangsa ketika menyertai Temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024 pada 4 hingga 14 September 2024 lalu bertempat di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Pungutan lapan pingat tersebut diraih melalui acara Karate Kumite Lelaki -67kg, Petanque Double Wanita, Kayak TK2 Men, Berbasikal (MTB) Cross Country Olympic, Heptathlon Wanita, Rejam Lembing Wanita, Silat Olahraga Kelas Putra J dan Silat Olahraga Kelas Putra BB2.
Untuk rekod, temasya dwi tahunan edisi kali ini telah menghimpunkan seramai 6,000 atlet dari 76 kontinjen institut pengajian tinggi awam dan swasta, dengan mempertaruhkan 28 acara sukan dan 231 pingat emas.
Kontinjen UTHM pada kali ini telah menghantar sebanyak 15 pasukan terdiri daripada sukan kayak, futsal lelaki, petanque, olahraga, bola jaring, taekwondo, bola tampar, silat, berbasikal, sepak takraw, golf, karate, tenis, lawn bowls dan sofbol.
Pengarah Pusat Sukan Universiti, Sr. Dr. Anuar Mohd Salleh turut mengucapkan tahniah kepada pasukan yang berjaya meraih pingat dan berharap UTHM dapat meneruskan lagi usaha untuk meraih kejayaan di temasya sukan edisi akan datang.
“Kontinjen UTHM telah menunjukkan prestasi yang membanggakan dan kejayaan mereka diharap dapat menjadi inspirasi kepada semua warga universiti,” katanya.