Oleh Rozlini Mohammed, Dr. Rosmamalmi Mat Nawi, Dr. Suhaila Mohd Yassin

MUAR – Dalam usaha meningkatkan literasi digital dalam kalangan pelajar Kolej Komuniti Muar, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dijemput oleh institusi tersebut untuk menjayakan program Latihan Peningkatan Pengetahuan Digital – Pengenalan Kepada Artificial Intelligence (AI) pada 21 September 2024 lalu.

Program yang bertujuan berkongsi pengetahuan kecerdasan buatan atau AI itu telah dihadiri oleh para pelajar Kolej Komuniti Muar dengan matlamat memperkenalkan serta meningkatkan kefahaman mereka terhadap teknologi AI yang kini menjadi asas penting dalam pelbagai industri.

Tiga tenaga pengajar yang merupakan ahli jawatankuasa Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), FSKTM iaitu Dr. Rosmamalmi Mat Nawi, Dr. Suhaila Mohd Yasin dan Rozlini Mohamed telah berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam bidang kecerdasan buatan serta memimpin peserta melalui tiga slot utama yang bermanfaat untuk mengaplikasikan AI dalam bidang program dandanan rambut di Kolej Komuniti Muar.

Slot pertama, Introduction to Artificial Intelligence memperkenalkan konsep asas AI kepada pelajar.

Penerangan mengenai asas AI memberi gambaran jelas kepada pelajar tentang bagaimana teknologi tersebut berfungsi dan impaknya pada masa hadapan.

Slot kedua, Applying AI for Elevator Pitch pula memberi peluang kepada pelajar untuk melihat bagaimana AI boleh digunakan dalam mempersembahkan idea melalui teknik ‘pitch’ yang ringkas dan berkesan.

Dalam slot itu, pelajar turut diperkenalkan kepada beberapa alat AI yang dapat membantu dalam membuat ‘pitch’ yang lebih kreatif dan inovatif dengan menggabungkan AI untuk kaedah pemasaran secara digital.

Demonstrasi yang diberikan berjaya menarik minat pelajar untuk melihat AI sebagai alat yang mampu mempercepatkan proses idea dan komunikasi dalam perniagaan serta industri.

Slot ketiga, Applying AI Knowledge in Beauty Industries memberi pendedahan kepada pelajar mengenai aplikasi AI dalam industri kecantikan.

Dengan perkembangan pesat teknologi dalam bidang ini, AI membantu dalam mencipta produk kecantikan yang lebih peribadi dan berinovasi.

Pelajar berpeluang melihat bagaimana AI digunakan dalam analisis kulit dan pengeluaran produk kecantikan yang disesuaikan dengan keperluan pengguna.

Menurut Dr. Rosmamalmi, program itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar tentang kepentingan AI, malah membuka peluang kepada mereka untuk menerokai penggunaan teknologi ini dalam pelbagai bidang, termasuk perniagaan dan industri kecantikan.

“Dengan adanya latihan sebegini, pelajar Kolej Komuniti Muar kini lebih bersedia menghadapi cabaran dan peluang dalam dunia yang semakin didominasi oleh teknologi AI.

“Diharapkan juga perkongsian ilmu melalui program ini dapat meningkatkan pengetahuan digital generasi muda, sekali gus membantu mereka bersedia untuk menyertai arus teknologi global,” katanya mewakili jawatankuasa.