NILAI,19 Ogos 2024 – Dua Syarikat pelajar yang dibawa oleh Pusat Teknousahawan Pelajar (PTU), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) iaitu Aspec Productian dan VR Enthusiast berjaya membolot kesemua anugerah bagi kategori ‘Animasi’ ketika menyertai Program Digital Innovation Creativepreneur 2.0 (DICE 2.0) pada 19 Ogos 2024 lalu bertempat di Nilai Youth City, Nilai.
VR Enthusiast berjaya meraih pingat perak dengan mempertaruhkan idea Ar/Vr mereka melalui permainan Trading Hunter VR, yang menonjolkan perdagangan wang zaman dahulu melalui aktiviti hasil hutan dengan menitiberatkan elemen kelestrarian.
Manakala Syarikat Aspec Productian pula meraih kesemua kategori pertandingan iaitu pingat emas, Anugerah Utama, Anugerah Khas Juri dan Anugerah Booth Paling Popular melalui taruhan idea kreatif animasi genre berteraskan sejarah dan fiksyen dalam menjaga kelestarian sejarah warisan Malaysia.
Mereka membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM7500 berserta hamper.
Aspec Production dianggotai oleh Nur Muhd Hidayat Khan Sakhir Sultan, Nurzuhayra Filzah Mohammad Abdul Jalil, Danial Safiy Sujud dan Marsya Hussairilamjan, manakala VR Enthusiast dianggotai oleh Saiful Juma’at, Mohammad Zahir Subakhir, Mohammad Ashraaf Syahmin Rosmawee dan Idlan Naim Nir Izuddin.
Kedua dua syarikat pelajar itu dibimbing oleh mentor, Mohd Firdaus Mohd Herrow dan Mokhtar Yahya dari Pusat Pengajian Diploma serta Dr. Che Samihah Che Dalim dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat.
DICE 2.0 merupakan salah satu usaha Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Pusat Kerjaya, Teknousahawan dan Jaringan Pintar (PaKaT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi mewujudkan platform kondusif kepada pelajar dalam bidang kandungan digital kreatif dengan menaik taraf bakat, serta memperkasakan pembangunan produk kandungan digital kreatif.
Sementara itu, Majlis Penutup DICE 2.0 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud telah diadakan pada 19 Ogos lalu bagi mengiktiraf pembangunan kandungan kreatif digital di peringkat institusi pendidikan tinggi (IPT).
Datuk Mustapha dalam ucapannya berkata DICE 2.0 berjaya membentuk ekosistem yang dinamik untuk landskap kandungan kreatif dalam memperkukuh bakat agar sejajar dengan keperluan industri, serta memperkasa pembangunan produk kandungan digital kreatif.
“Keberhasilan dan kelestarian program ini terbukti melalui kerjasama strategik dengan pihak agensi dan industri untuk membimbing usahawan kandungan digital kreatif dalam kalangan peserta IPT untuk bersaing di peringkat global.
“Saya berharap agar usahawan IPT yang lahir dari program ini dapat memanfaatkan segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program dan sentiasa berusaha dengan lebih gigih dalam bidang keusahawanan kandungan digital kreatif,” katanya.
Seramai 250 peserta terdiri daripada pelajar dan pensyarah dari 23 IPT dalam dan luar negara telah turut serta dalam penghasilan 48 projek kandungan digital kreatif kategori Animasi, Filem Pendek, Aplikasi Augmented Reality, Aplikasi Virtual Reality dan Aplikasi Permainan Digital.
Program itu turut mendapat kerjasama beberapa agensi dan rakan industry lain, antaranya Malaysia Digital Economy Corporation (MDeC), CRADLE Fund Sdn. Bhd, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), KRU Studios, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Warnakala Studios, Animonsta Studios, Virtualtech Frontier, Inspidea, Larian Studios, MZR Global, Kaigan Games Entertainment, Arraubi Gameware, Spaceup Entertainment, V3X Malaysia, RAWR Picture, Tolahah Creative Solution, Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).