EINDHOVEN, 21 Julai 2024 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya meraih tempat empat teratas bagi kategori ‘Robocup@Home(Playground)’ ketika menyertai pertandingan robotik terbesar dunia iaitu ‘World RoboCup 2024’ yang berlangsung di Eindhoven, Belanda pada 17 hingga 21 Julai 2024 lalu.
UTHM dianugerahkan ‘RISING FIGHTER’ bagi kategori ‘Robocup@Home(Playground)’, mengalahkan sembilan pasukan lain yang bertanding.
Untuk rekod, pertandingan yang dianjurkan oleh Worldwide Robocup Federation itu melibatkan penyertaan enam negara dengan sembilan kumpulan peserta termasuk Itali, Jepun, Mesir, China, Thailand, dan Malaysia.
Dua pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Muhammad Luqmanul Hakeem Ramli dan Puteri Alisha Balqis Mohd Sharif telah mempertaruhkan inovasi ciptaan mereka iaitu pengaturcara robot servis bernama HUSSEIN-Bot.
Kedua-dua mereka diselia oleh Dr. Abu Ubaidah Shamsudin dari Electric Vehicle Research Centre (EV-REC), UTHM.
HUSSEIN-Bot adalah robot servis yang telah dipinjamkan oleh Pengarah MyEDU AI Robotics Research Center, Profesor Dr. Jeffrey Too Chuan Tan yang mampu berinteraksi secara kompleks dengan manusia.
Menurut Dr. Abu Ubaidah, robot itu dilengkapi dengan kecerdasan buatan yang dapat mengenal pasti keadaan emosi manusia seperti marah, sedih dan gembira serta berusaha memperbaiki emosi tersebut dengan aktiviti yang menyeronokkan.
“Manusia juga tidak perlu memanggil robot kerana ia mampu menganalisis ekspresi wajah dan mengetahui bila ia diperlukan,” katanya.
Tambah beliau, HUSSEIN-Bot juga dilengkapi dengan teknologi terbaru seperti ‘follow me’, ‘receptionist’ dan ‘handsign’.
Teknologi ‘follow me’ membolehkan robot mengikuti pengguna dengan tepat, sementara ‘receptionist’ berfungsi sebagai penyambut tetamu yang mampu menjawab pertanyaan dan memberi panduan.
Teknologi ‘handsign’ pula membolehkan robot memahami dan memberi respon kepada isyarat tangan, menjadikan interaksi dengan manusia lebih intuitif dan efisien.
Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektrik, Profesor Madya Dr. Asmarashid Ponniran turut mengucapkan tahniah atas kejayaan kepada pasukan tersebut.
“Saya berharap kejayaan pasukan ini mampu memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk menyahut cabaran globalisasi ilmu, melihat ke hadapan dan berusaha mengharumkan nama universiti di peringkat antarabangsa.
“Kejayaan ini bukan sahaja meningkatkan prestij UTHM di arena antarabangsa tetapi juga membawa impak positif kepada negara,” katanya.
Pertandingan itu merupakan platform bagi para pelajar UTHM untuk mengembangkan bakat dan mempelajari kemahiran baharu dengan penglibatan pihak industri dan universiti lain, sekali gus mampu mewujudkan jaringan kerjasama yang lebih luas.
Pelajar-pelajar UTHM yang terlibat dalam pertandingan seumpama itu juga mampu meningkatkan nilai tambah dan kelebihan kepada mereka dalam menghadapi persaingan dalam pasaran kerja kerana kemahiran dan pengalaman mereka diakui di peringkat global.