BATU PAHAT – Bgai memberi pendedahan serta memperkenalkan dunia pengaturcaraan web kepada pelajar sekolah, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan satu bengkel di bawah inisiatif Program Service-Learning Malaysia – University For Society (SULAM) iaitu “Web Application Workshop For Beginners.”

Program yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gading pada 23 Mei 2024 lalu itu dikendalikan oleh 13 pelajar tahun akhir FSKTM yang mengikuti subjek BIE33503 – Topik-Topik Khas Kejuruteraan Perisian, dan dibimbing oleh tiga pensyarah iaitu Dr. Mohd Hamdi Irwan Hamzah, Dr. Mohd Zainuri Saringat dan Dr. Mohd Zanes Sahid.

Menurut wakil Pensyarah, Dr. Hamdi, SMK Sri Gading dipilih sebagai lokasi program kerana sekolah tersebut dikenal pasti mempunyai pelajar yang mempunyai daya saing yang tinggi serta berpotensi besar untuk menjadi inovator dan usahawan digital dalam bidang pengkomputeran pada masa hadapan.

Tambah beliau, melalui bengkel itu pelajar sekolah berpeluang mempelajari asas-asas pengaturcaraan web yang merupakan satu kemahiran yang penting pada era digital masa kini.

“Program itu juga diadakan bagi memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar SMK Sri Gading untuk terus meneroka dunia pengaturcaraan dan mengembangkan bakat serta minat mereka dalam bidang teknologi maklumat.

“Dengan menggabungkan pengetahuan teori dengan aplikasi praktikal, program itu turut menekankan pemahaman yang mendalam tentang prinsip pembangunan web sambil memupuk kreativiti dan pemikiran kritis dalam kalangan peserta,” katanya.

Antara aktiviti yang telah dijalankan, perkongsian ilmu tentang seni bina aplikasi web serta jenis-jenis dan bidang penggunaan aplikasi web.

Peserta-peserta juga didedahkan dengan pembangunan aplikasi web sebenar menggunakan bahasa pengaturcaraan HTML, CSS dan PHP secara amali.

Sementara itu, melalui aktiviti hands-on dan bimbingan, pelajar bukan sahaja memperoleh kemahiran dalam pembangunan web tetapi juga memupuk semangat untuk berinovasi, bekerja dalam pasukan dan mengenal pasti serta memformulasi penyelesaian masalah dalam bidang dinamik ini.

“Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar sekolah, tetapi juga kepada pelajar FSKTM yang berpeluang untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam situasi sebenar.

“Program SULAM ini membuktikan komitmen UTHM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berdaya saing dalam memberi sumbangan kepada masyarakat,” tambah Dr. Hamdi.