BATU PAHAT – Seramai empat atlet Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih empat pingat ketika mewakili negara menyertai ASEAN University Games (AUG) pada 25 Jun hingga 6 Julai lalu bertempat di Surabaya-Malang, Indonesia.
Atlet tersebut, Muhammad Arif Roslan dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) dan Norharis Muzammil Norhanan dari Fakulti Kejuteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) meraih pingat perak bagi acara Futsal.
Manakala Muhammad Fadhilah Izhar Tajudin dari FPTV meraih pingat gangsa bagi acara Silat Olahraga Putra C dan Nur Hanisah Zulkifli dari Pusat Pengajian Diploma (PPD) meraih pingat perak bagi acara Silat Olahraga Putri F.
Terdahulu, pasukan Malaysia telah menamatkan kem latihan pusat pada 7 hingga 9 Jun lalu bertempat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Rentetan itu, satu majlis penyerahan bendera kontinjen negara telah diadakan pada 20 Jun lalu bertempat di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Putrajaya yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Hadir sama pada majlis tersebut, Pengarah Pusat Sukan Universiti, Sr. Dr. Anuar Mohd Salleh selaku wakil rasmi UTHM.
Kejohanan dwi tahunan yang dihoskan oleh tuan rumah, Indonesia itu telah menyaksikan 21 acara dipertandingkan di sekitar Surabaya dan Malang.
Secara keseluruhan, kontinjen Malaysia telah berjaya meraih 38 pingat emas, 47 perak dan 62 gangsa.
Untuk rekod, penganjuran AUG 2022 yang lalu menyaksikan 10 atlet UTHM terpilih mewakili Malaysia bagi acara Mendayung, Silat dan Futsal dan mereka berjaya membawa pulang dua emas, dua perak dan satu gangsa.
Penyertaan atlet UTHM bagi mewakili negara ke temasya sukan antarabangsa turut membuktikan bahawa mahasiswa UTHM juga berpotensi besar dan mampu pergi lebih jauh dalam bidang sukan selain bidang akademik.