JOHOR BAHRU – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya membawa pulang 11 pingat ketika menyertai Kejohanan Sukan MAKSAK Johor 2024 yang berlangsung di Stadium Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia pada 17 Mei 2024 lalu.
UTHM yang diwakili 12 atlet bersama pengurus pasukan, Ismade Niam dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan membawa pulang enam pingat emas, tiga perak dan dua gangsa.
Menurut Ismade, jumlah kutipan pingat itu merupakan suatu pencapaian yang membanggakan bagi pasukan UTHM sebagai persediaan untuk mewakili sukan staf antara universiti (SUKUM) pada bulan Ogos akan datang.
Bagi Pasukan Olahraga Staf UTHM, pingat emas diraih oleh Suhailah Muhammad Philip dari Pejabat Hal Ehwal Pelajar bagi Kategori Wanita Senior Veteran untuk acara Lontar Peluru dan Lempar Cakera, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Tan Lai Wai dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina bagi acara 100 meter Kategori Wanita Senior Veteran.
Sementara itu, Ts. Dr. Mahyuzie Jenal dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) meraih emas bagi acara Lempar Cakera Kategori Lelaki Junior Veteran, manakala Ismahani Shamsudin dari Pusat Teknologi Maklumat pula meraih emas bagi acara Lempar Cakera Wanita Kategori Junior Veteran dan Noradzuana Samiran dari Unit Audit Dalam meraih emas bagi acara 1500 meter, Kategori Wanita Senior Veteran.
Bagi pingat perak pula diraih oleh Siti Haslinda Ahmad dari Pejabat Keselamatan bagi acara 200 meter Wanita Kategori Junior Veteran, Ts Dr. Mahyuzie bagi acara Lontar Peluru Lelaki Junior Veteran dan Ismahani Shamsudin bagi acara Lontar Peluru Wanita Junior Veteran.
Manakala pingat Gangsa diraih oleh Siti Haslinda Ahmad bagi acara 100 meter Wanita Junior Veteran dan Dr. Chua King Lee dari FKEE bagi acara 100 meter Kategori Wanita Junior Veteran.
Penganjuran MAKSAK JOHOR disertai oleh Anggota Perkhidmatan Awam Negeri, Persekutuan dan Badan-badan Berkanun di negeri Johor.
Selain UTHM, kejohanan ini turut disertai oleh Jabatan Imigresen Negeri Johor, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Jabatan Kesihatan Johor, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Majlis Bandaraya Johor Bahru Jabatan Pengairan dan Saliran Johor serta Kementerian Pendidikan Malaysia.
Kejohanan Sukan MAKSAK Johor 2024 merupakan acara pemilihan rasmi untuk mengenal pasti atlet untuk mewakili Johor di Kejohanan Sukan MAKSAK Kebangsaan 2024 yang akan berlangsung di negeri Perak pada bulan November 2024 akan datang.