Oleh Ts. Mohd Hatta Md Hani, Suriayati Baharom
MUAR – Pelatih RELASIS Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya membolot gelaran Juara, Naib Juara dan Tempat Ketiga bagi kategori ‘Relawati’ ketika menyertai Ujian Kemahiran Menembak RELASIS Zon Selatan yang telah diadakan pada 23 Jun 2024 lalu bertempat di Lapang Sasar Batalion Enam, Pasukan Gerakan Am (PGA), Bakri, Muar.
Ujian tersebut menyaksikan pelatih RELASIS UTHM, Adriana Hazwani Hishamuddin meraih gelaran Juara, Aleeya Saffiyah Azrul Fazli sebagai Naib Juara dan Nur Adawiyah Dawama Tajuddin di tempat ketiga.
Prestasi cemerlang mereka bukan sahaja membanggakan UTHM tetapi juga memberi harapan besar untuk kejayaan di peringkat kebangsaan kelak iaitu Ujian Kemahiran Menembak RELA Kebangsaan (UKMR-K).
Menurut Timbalan Komander RELASIS UTHM, PPjR (Bersekutu), Ts. Mohd Hatta Md Hani, ujian kemahiran menembak itu diadakan bertujuan memastikan setiap pelatih RELASIS mencapai tahap kompetensi terbaik sebagai ahli RELA, sekali gus sebagai platform untuk menilai kemahiran dan kecekapan pelatih dalam mengendalikan senjata api hasil daripada latihan yang dijalankan.
Tambah beliau, program anjuran Ibu Pejabat RELA Negeri Johor dengan kerjasama dan penyertaan daripada RELASIS UTHM, RELASIS Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dan RELASIS Politeknik Mersing Johor (PMJ) itu melibatkan pelbagai sesi latihan intensif, meliputi beberapa praktis kedudukan menembak senjata api Colt M-16.
Latihan tersebut memberi penekanan kepada keselamatan senjata api, teknik menembak yang tepat dan cara mengendalikan situasi kecemasan.
“Ujian Kemahiran Menembak itu membuktikan bahawa latihan berterusan dan pendedahan kepada situasi praktikal adalah sangat penting dalam mempersiapkan anggota RELASIS untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Selain meningkatkan kemahiran teknikal, program itu juga memupuk semangat kerjasama dan kekitaan yang amat penting dalam pasukan keselamatan.
“Acara itu turut berfungsi sebagai medan terbaik untuk mengenal pasti jaguh-jaguh menembak yang bakal membawa cabaran ke peringkat kebangsaan,” katanya.
Program itu telah disempurnakan oleh PPjR Mohd Zafran Danial, yang merupakan wakil rasmi kepada Pengarah RELA Negeri Johor.
PPjR Mohd Zafran dalam ucapannya menekankan betapa pentingnya program sebegitu dalam memperkasakan kemahiran anggota RELASIS.
Beliau juga menekankan pentingnya sokongan berterusan dari semua pihak termasuk institusi pendidikan dan komuniti setempat dalam usaha memperkasakan RELASIS sebagai barisan hadapan yang cekap dan bersedia.
Sijil penghargaan dan piala turut disampaikan kepada para pemenang sebagai pengiktirafan di atas usaha dan dedikasi mereka.
Program Ujian Kemahiran Menembak RELASIS Zon Selatan 2024 telah membuktikan bahawa komitmen dan latihan yang berterusan adalah kunci kepada kecekapan dan kejayaan.