Oleh Muhammad Ammar Shafi, Nor Kamariah Kamaruddin, Iffa Nurshafira Asiqah Mohd Zahanodin
BATU PAHAT – Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus komited dalam memupuk kefahaman masyarakat dengan mengaplikasikan statistik kebarangkalian bagi meningkatkan kesedaran kesihatan melalui integrasi teori dengan amalan dunia sebenar.
Jabatan Pengurusan dan Teknologi (JPT), FPTP bersama Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menganjurkan program “Service Learning Malaysia-University for Society” (SULAM) yang bertemakan “Utilizing the Probability Statistics in Improving Health Awareness Among Community.”
Program kendalian Kursus Pengurusan Statistik itu telah berlangsung di Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam, Selangor pada 5 Jun 2024 lalu.
Menurut Penyelaras dan Pengarah Program, Dr. Muhammad Ammar Shafi, mahasiswa dan komuniti setempat telah didedahkan berkaitan cara mengintegrasikan ilmu statistik kebarangkalian dalam membuat keputusan sehari-hari termasuklah berkaitan penjagaan kesihatan di peringkat awal.
“Penganjuran program ini juga bertujuan untuk memupuk minat mahasiswa UTHM berkongsi hasil pembelajaran mereka di universiti kepada komuniti luar, selain mewujudkan peluang untuk agensi, korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyumbang kepada komuniti melalui program kesukarelawan,” katanya.
Tambah Dr. Ammar, program itu juga selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mahu memperkasakan kurikulum mahasiswa universiti dengan memperkenalkan pembelajaran berasaskan pengalaman dan khidmat komuniti.
Sementara itu, program SULAM tersebut telah sempurnakan oleh Timbalan Pengarah Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM, Profesor Dr. Ahmad Izuanuddin Ismail dan turut dihadiri Ketua Jabatan Pengurusan dan Teknologi, FPTP, Dr. Nor Kamariah Kamaruddin.
Program itu juga turut melibatkan penyertaan empat staf dari UTHM, enam staf dari HUiTM, 25 mahasiswa tahun satu Kursus Pengurusan Statistik dan sejumlah besar komuniti setempat yang berada di Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM.
Sepanjang sesi lawatan ke Hospital Universiti Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam, pelbagai aktiviti telah laksanakan antaranya sesi perkongsian ilmu yang telah disampaikan oleh doktor-doktor pakar dalam klinikal.
Sesi perkongsian tersebut melibatkan topik seperti ‘Introduction of Probability and Make the Decisions’ yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Mohamad Rodi Isa, ‘Application of Probability Statistics in Medical Decision’ oleh Dr. Khairul Shafiq Ibrahim dan ‘Application of Probability Statistics in Daily Life and How to Make the Right Decision’ oleh Dr. Mohd Zhafran Zainal Abidin, selain diselang seli program bersama komuniti setempat.
“Pihak kami berharap pelaksanaan program SULAM ini dapat memberikan ruang kepada mahasiswa untuk berinteraksi dengan komuniti sekali gus dapat menjalinkan kerjasama yang baik dengan agensi kerajaan.
“Semoga inisiatif seumpama ini dapat melahirkan mahasiswa universiti yang lebih peka dan peduli terhadap isu kemasyarakatan,” katanya.