Oleh Dr. Ahmad Helmi Hamdan
BATU PAHAT, 5 Jun 2024 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Program High Performance Leadership Coaching (HiPer) 2.0, telah menganjurkan ‘Forum Kepimpinan Kalis Masa Hadapan’ pada 05 Jun 2024 bertempat di Big Stage, Perpustakaan Tunku Tun Aminah, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Forum yang berjudul ‘Kepimpinan Kalis Masa Hadapan’ itu menempa rekod apabila berjaya menemukan tokoh pemimpin rentas agensi dan industri sebagai panelis di atas satu pentas.
Program HiPER 2.0 merupakan program persijilan Kepimpinan dan Pengurusan Bakat yang dikeluarkan oleh Institut Kepimpinan dan Pengurusan (The Institute of Leadership and Management, ILM), United Kingdom.
Program itu diadakan bagi membantu pemimpin dan bakat pemimpin menggunakan kaedah kepimpinan yang berkesan dan kolaboratif untuk bekerja dalam organisasi dan memanfaatkan potensi kepemimpinan semua anggota pasukan.
Forum tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad.
Beliau dalam ucapannya berkata universiti perlu mempunyai pemimpin yang berminda keusahawanan.
“Penerapan budaya keusahawanan dalam universiti adalah penting untuk meletakkan negara di persada dunia.
“Minda keusahawanan adalah penting untuk melayakkan kita bersaing pada dunia hari ini yang penuh dengan cabaran,” katanya.
Hadir sama, Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim; Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Pendaftar UTHM, Naim Maslan.
Lebih 100 pegawai universiti yang terdiri daripada Ahli-ahli Eksekutif, Pegawai-pegawai Kanan dan pegawai-pegawai universiti hadir ke forum itu.
Turut serta, 29 peserta program HiPER 2.0 anjuran Pusat Kepimpinan dan Kompetensi UTHM, yang terdiri dari gabungan 20 pegawai UTHM dan sembilan pegawai dari pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Malaysia (USM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan ASIA Aeronautical Training Academy Sdn. Bhd. dan ATAS Aeronautic Sdn. Bhd.
Forum yang dikendalikan oleh Dekan Pusat Pengajian Umum dan Korikulum, Dr. Lutfan Jaes selaku Moderator itu melibatkan tiga ahli panel iaitu Dato’ Haji Mustaffa Kamal Haji Shamsudin, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech); Dr. Muhammad Yusof Sibert, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dan Dr. Wan Syakirah Dato’ Wan Abdullah, Head Business Assessment and Engineering, TNB Renewables.
UTHM berharap penganjuran forum seumpama itu mampu menjadi satu wadah untuk para peserta meningkatkan pengetahuan dalam kepimpinan, selain dapat mengumpulkan tokoh-tokoh pemimpin dari pelbagai latar belakang untuk berkongsi pengalaman dan pendedahan kepada isu-isu semasa.