Oleh Norhaslini Abd Alim

BATU PAHAT – Program Pemimpin Perintis Kejayaan (PETIK) Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang kini dijenamakan sebagai ‘Program Pemantapan Insani Khalifah’ telah pun memasuki tahun ketiga sejak penganjurannya pada tahun 2022.

Seiring dengan keperluan semasa dan penambahbaikan berterusan, modul program khidmat sosial korporat (CSR) PTTA itu telah diperkemas dan diperkasakan bagi mendapatkan hasil yang lebih baik.

Selaras dengan profesionalisme dalam bidang kepustakawanan, modul program tersebut bukan sahaja berfokus kepada motivasi, kepimpinan atau kerohanian semata-mata, malah dari aspek pencarian maklumat, penyebaran ilmu dan pengurusan pusat sumber turut diterapkan.

Menurut Timbalan Ketua Pustakawan Kanan PTTA, Suhaimi Mohd Sukor merangkap penasihat program, sasaran penyertaan program itu bukan hanya dibuka kepada murid sekolah rendah sahaja, malah turut ditawarkan kepada murid sekolah menengah.

Justeru, pada tahun lalu iaitu pada tanggal 23 dan 24 Jun 2023, bertempat di Pusaf Minda Emas (PuMAS), telah berlangsung Program PETIK Siri Pertama 2023 bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sardon, Batu Pahat dengan penyertaan seramai 82 pengawas sekolah.

Kemudian, diikuti oleh siri kedua bersama Sekolah Kebangsaan Kg Dato Ibrahim Majid, Simpang Renggam pada 18 Julai 2023 bertempat di Masjid al-Mustaghfirin dengan penyertaan seramai 78 murid darjah enam.

Seterusnya, seramai 80 murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2023 daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perdana, Kluang, Johor telah menyertai Program PETIK Siri Ketiga 2023 pada 12 hingga 14 Oktober 2023.

Sementara itu, Ketua Fasilitator Progran PETIK, Zuraini Tasri pula berkata Modul PETIK untuk siri pertama 2023 berfokuskan kepada ‘Kepimpinan’ secara umum, manakala siri kedua pula adalah pengkhususan kepada ‘Sahsiah Diri’ pelajar.

Tambah beliau, untuk siri ketiga 2023, Modul PETIK telah bergabung dengan Modul Kem Motivasi Pelajar (PINTAR) daripada Pusat Islam UTHM yang berfokuskan kepada ‘Cita-cita.’

Terkini, Program PETIK menjadi salah satu daripada pilihan program yang dilaksanakan dalam memperkasa ekosistem CSR di UTHM.

Pada tanggal 5 dan 12 Mei 2024 lalu, Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC) UTHM dengan kerjasama PTTA dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Temenggong Ibrahim Penggaram, Batu Pahat serta Sekolah Kebangsaan Seri Bertam, Yong Peng telah mengadakan Program Pembinaan Karakter dan Kepimpinan Murid.

Program PETIK Siri Pertama 2024 telah disertai oleh 107 murid, manakala siri kedua pula telah disertai oleh 56 orang murid yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin cilik sekolah antaranya Student Leader Board, Pengawas, Pengawas Pusat Sumber dan Pembimbing Rakan Rakan Sebaya.

Majlis penutup untuk kedua-dua siri itu telah disempurnakan oleh Ketua Pustakawan, Zaharah Abd Samad merangkap Ketua Kluster UTHM Prihatin dan Ketua Jabatan Jaringan Masyarakat dan Pemindahan Ilmu, ICRC, Dr. Mohd Hafizal Hanipah.

Zaharah dalam ucapannya turut melahirkan harapan agar program ini dapat meningkatkan lagi minat pelajar dalam subjek matematik dan sains serta mempromosikan PTTA sebagai sebuah gedung ilmu yang menjadi pilihan pelajar bagi menyambung pengajian mereka khususnya dalam bidang Technical and Vocational Education and Training (TVET).

Untuk rekod, bagi meningkatkan lagi nilai kebersamaan dalam kerja berpasukan, tiga daripada siri program itu telah dilaksanakan dengan kolaborasi bersama persatuan dan kesatuan di UTHM iaitu Persatuan Pegawai Pentadbir dan Ikhtisas (PENTAS) dan Kesatuan Kakitangan Pelaksana UTHM (KKPUTHM).

Pelaksanaan modul Program PETIK PTTA yang diperkemaskan melalui kolaborasi bersama ramai pihak itu diharap dapat dimanfaatkan oleh komuniti sekitar khususnya dalam aspek kemahiran insani seorang khalifah dan kemenjadian murid.

 

12 Mei 2024 | Zaharah Abd Samad menerima cenderamata dan sijil penghargaan daripada Kartinie Amat, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Bertam, Yong Peng semasa berlangsungnya majlis penutup.
12 Mei 2024 | Para peserta Program PETIK Siri Kedua 2024 semasa sesi latihan dalam kumpulan bersedia untuk membuat carian maklumat dan bahan bacaan.
5 Mei 2024 | Dr. Mohd Hafizal Hanipah menyampaikan hadiah kepada para peserta Program PETIK Siri Pertama 2024.
14 Oktober 2023 | Antara aktiviti dalam kumpulan yang diadakan bagi pembinaan identiti individu yang lebih kreatif dan inovatif serta mendidik peserta tentang kehidupan berorganisasi yang cemerlang.
18 Julai 2023 | Zainuddin Mohd Noh, Presiden KKPUTHM menyampaikan Ceramah Keibubapaan: “Aku Sayang Kamu Sampai Ke Syurga” kepada peserta PETIK Siri Kedua 2023.
24 Jun 2023 | Wakil PENTAS UTHM, Muhammad Khairullah Mohd Shaari, Pegawai Psikologi, Pusat Kaunseling Universiti memberi ceramah motivasi bertajuk “Kepimpinan yang Berkualiti Teras Kecemerlangan” kepada peserta PETIK Siri Pertama 2023.