Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 adalah undang-undang penting yang bertujuan untuk melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja di Malaysia. Dalam usaha untuk memperkukuhkan perlindungan pekerja dari segi keselamatan dan kesihatan pekerjaan, kerajaan telah meluluskan pindaan AKKP 2022 (Akta A1648). Pada Seminar Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pada 28 April 2024 yang berlangsung di Universiti Cyberjaya lalu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong telah mengumumkan, pemakaian akta pindaan akan mula dikuatkuaskan pada 1 Jun 2024.  AKKP 2022 (pindaan) bertujuan untuk mencapai beberapa matlamat penting, termasuk meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan pekerja, mengurangkan bilangan kemalangan dan kecederaan di tempat kerja, serta menggalakkan budaya keselamatan yang lebih proaktif dalam kalangan majikan dan pekerja.

Beberapa pindaan telah dilakukan bagi mencapai standard keselamatan dan kesihatan pekerjaan setanding dengan negara maju, yang akan memberi manfaat kepada masyarakat dan ekonomi secara keseluruhan. Skop dan pemakaian  tempat kerja sebelum pindaan hanya terpakai kepada industri dalam Jadual Pertama AKKP 1994. Ia telah dipinda dengan memasukkan semua tempat kerja di seluruh Malaysia termasuk tempat kerja dalam perkhidmatan awam dan pihak berkuasa berkanun. Langkah ini menggalakkan budaya keselamatan dan menggalakkan majikan dalam perkhidmatan awam dan pihak berkuasa berkanun untuk mengutamakan langkah keselamatan di tempat kerja.

Secara dasarnya, pindaan ini akan memberi kesan kepada pelbagai pihak, termasuk pekerja dan majikan. Bagi pekerja, pindaan ini memberikan jaminan tambahan terhadap keselamatan mereka di tempat kerja, dengan penekanan yang lebih besar kepada latihan keselamatan dan pematuhan undang-undang. Peruntukan baharu telah ditambah untuk meningkatkan perlindungan bagi pekerja. Di bawah peruntukan ini, jika pekerja memaklumkan majikan atau wakil mereka bahawa mereka mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai terdapat bahaya atau hazad yang akan berlaku di tempat kerja mereka, pekerja mempunyai hak untuk mengeluarkan diri mereka daripada bahaya atau kerja mereka jika majikan tidak mengambil sebarang tindakan untuk menangani bahaya atau hazad tersebut.

Bagi majikan pula, pindaan ini mungkin memerlukan belanjawan lebih bagi penambahbaikan kepada kemudahan keselamatan dan kesihatan, latihan pekerja dan pematuhan undang-undang.  tetapi pada akhirnya, ia akan membawa manfaat jangka panjang dalam bentuk produktiviti yang lebih tinggi dan prestasi keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang lebih baik. Beberapa aspek di dalam pindaan ini perlu di ambil kisah oleh pihak majikan.

Salah satu aspek utama pindaan adalah penekanan undang-undang untuk memastikan pematuhan yang lebih ketat daripada majikan terhadap peraturan keselamatan. Ini termasuk penalti yang lebih berat bagi pelanggaran keselamatan dan pengenalan mekanisme pelaporan yang lebih efisien untuk pekerja yang mengalami situasi yang tidak selamat di tempat kerja. Jumlah penalti yang dikenakan ke atas majikan dan prinsipal jika disabitkan kerana gagal mematuhi notis dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM500,000. Akan tetapi, tempoh penjara dikurangkan daripada tempoh tidak melebihi lima tahun kepada tidak melebihi dua tahun. Denda lanjut notis bagi setiap hari jika kesalahan itu berterusan dinaikkan daripada RM500 kepada RM2,000. Penalti yang lebih tinggi bertindak sebagai penghalang kepada majikan yang mungkin cenderung untuk mengabaikan peraturan keselamatan yang ditetapkan dalam akta tersebut.

Akta pindaan ini juga memperluaskan tanggungjawab ’prinsipal’ dengan menekankan tanggungjawab mereka untuk mengutamakan keselamatan dan kesihatan dalam bidang kuasa mereka. “Prinsipal” dalam konteks AKKP 2022 ialah merujuk kepada mana-mana orang yang dalam penjalanan atau bagi maksud perdagangan, perniagaan, profesion atau pengusahaannya membuat kontrak dengan seorang kontraktor untuk pelaksanaan oleh atau di bawah kontraktor itu keseluruhan atau sebahagian daripada apa-apa kerja yang diusahakan oleh prinsipal itu. Prinsipal kini diberi mandat untuk mengambil langkah yang boleh dilaksanakan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan semua pihak yang terlibat.

Akta pindaan ini juga mengenakan kewajipan kepada individu untuk menjalankan dan melaksanakan penilaian risiko, meningkatkan akauntabiliti untuk sebarang peninggalan, liabiliti atau keingkaran. Akta pindaan juga ini menekankan tumpuan yang lebih tinggi terhadap pengurusan risiko yang lebih proaktif dan kepentingan menangani potensi risiko dan hazard untuk menjaga kesejahteraan semua pihak berkepentingan.

Klausa tambahan telah dimasukkan untuk mewajibkan majikan melantik seorang  penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerjaan atau OSH Coordinator jika syarikat menggaji lima atau lebih pekerja di tempat kerjanya. OSH Coordinator ini perlu mendapat pensijilan daripada syarikat pemberi latihan yang diiktiraf oleh pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dna berdaftar si sistem MyKKP.

Dua jadual telah ditambah bagi pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan iaitu Jadual Keempat dan Jadual kelima. Jadual Keempat menggariskan pelbagai jenis kecederaan badan untuk memberikan gambaran yang jelas tentang apa yang merupakan kecederaan badan yang serius. Manakala, Jadual Kelima menggariskan senarai lengkap aktiviti yang mesti dijalankan oleh orang yang kompeten (OYK) dan penyedia latihan berdaftar untuk memenuhi kewajipan mereka dengan berkesan.

Pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2022 adalah langkah penting dalam usaha Malaysia untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja. Dengan penekanan yang lebih besar kepada pematuhan undang-undang, kesedaran keselamatan dan pembaikan standard keselamatan, pindaan ini dijangka akan membawa impak positif yang besar kepada masyarakat, industri dan ekonomi negara.

 

 

Dr. Zuritah A.Kadir

Pensyarah Kanan

Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia

Fakulti Teknologi Kejuruteraan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Dr. Nurrul Hafeezah Sahak

Pensyarah Kanan

Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia

Fakulti Teknologi Kejuruteraan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)