Oleh Hatijah Basri, Norhayati Muhammad, Nur Farhanah Izzueein Roslan

PAGOH – Seramai 108 peserta yang terdiri daripada para pelajar kursus Makanan Halal (BWD22402), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) telah menyertai Kursus Sembelihan Ayam Secara Islam 4.0 pada 15 Mei 2024 lalu bertempat di Makmal Teknologi Makanan, UTHM Kampus Cawangan Pagoh.

Kursus tersebut merupakan latihan praktikal yang memberi pengalaman kepada para peserta mengenai cara penyembelihan yang menepati hukum syarak.

Para peserta yang berjaya dalam latihan itu akan memperolehi sijil kompetensi penyembelihan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Kursus tersebut diadakan bertujuan melatih peserta dalam melaksanakan penyembelihan untuk kemahiran tambahan apabila memohon penempatan industri dan kerjaya setelah tamat pengajian.

Program yang dirasmikan oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, FAST, Profesor Madya Ts. Dr. Noor Azura Awang itu diisi dengan satu sesi ceramah daripada Pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Haji Nasri Haji Selamat.

Ceramah bertajuk “Penyembelihan Halal Menurut Pandangan Islam” itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang prosedur penyembelihan ayam yang mematuhi syarak.

Sebelum memulakan aktiviti penyembelihan melibatkan semua peserta, satu taklimat ringkas telah diberikan oleh Pegawai JAINJ, Mohd Firdaus Abu Talib bagi memastikan aktiviti penyembelihan dilakukan dengan selamat dan betul.

Menurut beliau, proses sembelihan mestilah dimulai dengan niat dan seterusnya memastikan saluran-saluran utama iaitu saluran pernafasan (urat halkum), saluran makanan (urat meri’) dan salur darah (arteri karotid dan vena jugular) terputus.

“Proses mengeluarkan darah ayam selepas selesai sembelihan perlulah dilaksanakan sebelum ia dibersihkan,” tambah beliau.

Menariknya, ayam yang telah disembelih dibersihkan dan dipotong bagi menghasilkan produk makanan seperti cheesy fried chicken, pau ayam, chicken dumpling dan chicken nugget.

Produk makanan yang dihasilkan itu kemudiannya dikongsi bersama para pelajar, pensyarah dan staf fakulti.

Aktiviti tersebut dapat mengeratkan lagi hubungan persaudaraan di samping mampu menyerlahkan kreativiti masing-masing dalam penghasilan produk makanan daripada ayam yang disembelih.

Turut serta, Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad, Dekan FAST, Profesor Madya Dr. Mohamad Zaky Noh, bersama enam pensyarah panel Teknologi Makanan dan enam staf Pejabat Pengurusan Makmal.

Program kompetensi seumpama itu wajar diteruskan bagi setiap kohort untuk melengkapkan pelajar dengan berbagai kemahiran bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dengan Kepujian UTHM.