Oleh Muhamad Hanafi Rahmat, Hazri Abd Aziz dan Suhailah M Mohd Siraj

KOTA BHARU – Dalam usaha mempertahankan identiti seni bina kebangsaan, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai Program SULAM 2024: Kota Bharu Sketchwalk – Identiti Senibina Kelantan pada 3 hingga 4 Mac 2024 lalu bertempat di Kota Bharu,Kelantan.

Program dengan kerjasama pelajar Diploma Senibina dari Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Pasir Mas Kelantan itu melibatkan beberapa aktiviti antaranya sesi perkongsian ilmu antara pensyarah UTHM dan KKTM berkaitan isu nilai seni bina identiti kebangsaan amnya dan Kelantan khasnya.

Seramai lima penceramah telah berkongsi ilmu mereka kepada para pelajar senibina yang hadir memenuhi Dewan Istiqamah di KKTM Pasir Mas, Kelantan.

Tajuk-tajuk perkongsian adalah “Nilai Estetika Dalam Senibina Rumah Tiang 12 Kelantan” oleh Arifah Amri, “Quran and Sunnah in Built Environment – A Case Study of Kelantanese Traditional Malay House” oleh Muhammad Siddiqi Jamalludin, “Memahami Proses Rekabentuk Daripada Perspektif Senibina Identiti Kebangsaan” oleh Muhamad Hanafi Rahmat, “Bahasa Perancangan Bandar (Urban Language) Setempat Melalui Proses Lakaran (Sketches) oleh Ar. Hazri Abd Aziz dan “Nilai Regionalisme Moden Arkitek Hajeedar Membentuk Identiti Senibina Setempat” oleh Suhailah M Mohd Siraj.

Para pelajar juga diberikan tugasan berkumpulan dengan memfokuskan kepada pengukuhan proses reka bentuk seni bina melalui program ‘so-to-so’ (one to one scale) yang melibatkan aktiviti seperti mereka bentuk chalet mesra orang kurang upaya (OKU), pertandingan sketching dan pertandingan fotografi.

Para peserta juga dikehendaki untuk mengintegrasi nilai seni bina identiti kebangsaan dan Kelantan seperti mana yang diminta ketika sesi perkongsian setiap aktiviti yang dijalankan.

Di akhir program, tiga pemenang utama telah dipilih untuk setiap pertandingan yang diadakan sebagai tanda penghargaan kepada peserta.

Selain daripada menyemai semangat seni bina identiti kebangsaan dalam kalangan pelajar, program itu juga dirangka untuk memperkenalkan lagi program senibina UTHM kepada pihak luar.

Program yang disertai oleh 28 pelajar senibina dari UTHM, 28 pelajar senibina dari KKTM Pasir Mas, tiga pensyarah senibina dari UTHM dan lima pensyarah dari KKTM Pasir Mas juga bertujuan memupuk hubungan baik antara kedua-dua institusi.

Pengarah program, Muhamad Hanafi berkata pelaksanaan program itu tidak hanya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan rasa cinta terhadap seni bina identiti kebangsaan, tetapi juga memberi pendedahan kepada para pelajar tentang proses merancang aktiviti, menyelesaikan masalah, berani berdepan dengan situasi baru, serta kepentingan memperluas rangkaian dalam setiap urusan yang perlu diselesaikan.

“Program ini juga adalah integrasi dengan projek lawatan tapak bagi kursus Studio Senibina 6 (BFR32208) yang mana tapak projek yang dipilih adalah di Pasir Mas, Kelantan.

“Para pelajar diberi tanggungjawab untuk merancang dan menguruskan setiap aktiviti di bawah pengawasan tiga pensyarah kursus iaitu saya, Ar. Hazri Abd Aziz, dan Suhailah M. Mohd Siraj,” jelas beliau.

Sementara itu, Ketua Program Diploma Senibina, Ts. Wan Mohd Redzuan Wan Muhammad pula berkata program yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pihak KKTM itu telah berjaya meningkatkan keyakinan para pelajar untuk berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang mereka miliki.

“Diharapkan program seumpama ini dapat diperluaskan lagi untuk mempromosikan nilai seni bina identiti kebangsaan serta meningkatkan kesedaran terhadap nilai-nilai tersebut dalam kalangan bakal-bakal arkitek masa depan.

“Semoga inisiatif seumpama ini juga dapat memartabatkan nilai identiti kebangsaan dalam setiap hasil kreativiti reka bentuk seni bina bangunan yang mereka hasilkan,” tambah beliau.

 

Sesi perkenalan bersama para panel penceramah bagi sesi pertukaran ilmu.

 

Para peserta memberi sepenuh perhatian sewaktu sesi Pertukaran Ilmu di Dewan Istiqamah, KKTM Pasir Mas, Kelantan.

 

Aktiviti ‘so-to-so’ yang mana pelajar perlu mereka bentuk chalet mesra OKU.