Oleh Muhamad Shafiq Nor Mazlan
KUALA LUMPUR, 24 Februari 2024 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi mencipta rekod apabila berjaya membawa pulang 10 pingat hasil penyertaan 10 produk penyelidikan ketika menyertai pameran Malaysia Technology Expo 2024 (MTE 2024) yang telah berlangsung pada 22 hingga 24 Februari 2024 di Putra World Trade Centre, Kuala Lumpur.
UTHM telah berjaya meraih empat pingat emas, dua pingat perak dan empat pingat gangsa serta satu anugerah khas daripada Japan Intellectual Property Association (JIPA) melalui penyertaan produk hasil penyelidikan pensyarah-pensyarah dari pelbagai fakulti.
Kejayaan tersebut membuktikan bahawa aktiviti penyelidikan di UTHM berupaya menarik perhatian umum sekali gus mampu bersaing dengan universiti ternama lain di negara ini.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTHM, Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad bagi menyantuni serta memberi sokongan kepada penyelidik UTHM.
MTE 2024 kali ini mempamerkan lebih 500 penyelidikan secara mod hibrid oleh penyelidik universiti, pusat penyelidikan dalam dan luar negara, sekolah rendah dan menengah, termasuklah sektor swasta dari lebih 10 negara antaranya Indonesia, Arab Saudi dan Hong Kong.
Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC) UTHM, Prof. Ts. Dr. Norzila Othman turut mengucapkan tahniah dan syabas atas kejayaan semua penyelidik yang telah menyertai MTE 2024.
Beliau berkata pameran ini bukan sekadar memenangi pingat, tetapi merupakan salah satu platform dalam membentuk rangkaian kerjasama bersama pemain industri dan agensi luar untuk kemajuan penyelidikan dan inovasi sekali gus meluaskan lagi kepakaran penyelidik.