KAJANG – Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bakal menjalinkan kerjasama dengan Syarikat MILI Tech Sdn. Bhd. dalam bidang kenderaan electric vihicle (EV) dan hibrid.
UTHM-MILI Tech bakal bekerjasama dalam bidang penyelidikan electric vehicle (EV) dan hibrid, melibatkan aktiviti akademik, penyelidikan dan pembangunan, inovasi serta latihan yang menjurus kepada perkembangan teknologi semasa dan permasalahan sebenar bidang tersebut.
Sebagai permulaan kerjasama, satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTHM dan MILI Tech telah ditemeterai pada 30 Januari 2024 bertempat di syarikat berkenaan.
MoU tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim manakala Syarikat MILI Tech diwakili Pengarahnya, Mohd Farid Abd Manaf.
Perjanjian persefahaman tersebut turut disaksikan oleh Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi UTHM, Naim Maslan dan Pengurus Projek dan Pembangunan Perniagaan MILI Tech, Hashem Abdullah.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MILI Tech., Nur Shalliza Hajis bersama pihak pengurusannya; Dekan FKEE, Prof. Madya Ts. Dr. Asmarashid Ponniran, Penyelaras MoU, Dr. Zarafi Ahmad; Ketua-ketua Pusat Tanggungjawab UTHM serta pengurusan FKEE.
Untuk rekod, Syarikat MILI Tech yang diiktiraf oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia telah menyediakan khidmat servis kepada lebih 2000 kereta EV dan hibrid, bertindak sebagai perunding EV, hibrid dan robotik untuk MARA, menjadi penasihat industri EV & hibrid untuk kolej dan institusi teknikal antaranya UniKL, Vocational Education Training Academy (VETA), Politeknik Malaysia Sultan Mizan Zainal Abidin dan Kolej Komuniti Kepala Batas.
Selain itu, MILI Tech juga memiliki sijil ISO 9001: 2015 serta diperakui untuk perkhidmatan, penyelenggaraan dan latihan EV & Hibrid, terlibat dalam Internet of Things (IoT), automasi, robotik dan teknologi hijau dan turut dilantik sebagai Internal Quality Assurance (IQA) untuk pensijilan Institute of the Motor Industry (IMI).
FKEE menyambut baik usaha kerajaan ke arah ekosistem EV dengan menjadi pelopor dalam membangunkan perkara-perkara berkaitan EV di UTHM sejak 2019.
Antara yang terhasil, lahirnya kenderaan EV pertama di UTHM yang dikenal sebagai Eco-EV UTHM di bawah Pusat Penyelidikan Kenderaan Elektrik (EV-ReC).
Selain itu, silibus kursus EV bagi program Sarjana Muda juga telah mula dilaksanakan bemula 2022, yang mana kursus tersebut adalah kursus elektif yang ‘floating’ iaitu mana-mana pelajar dari fakulti kejuruteraan dan teknologi kejuruteraan adalah layak untuk mendaftar.
Dato’ Ruzairi dalam ucapannya berkata, jalinan kerjasama seumpama ini mampu mengukuhkan lagi hubungan antara UTHM dengan industri bagi melengkapkan kecemerlangan dalam pendidikan, penyelidikan, inovasi dan teknousahawan.
“Dengan reputasi syarikat yang sedang berkembang dalam teknologi kenderaan EV dan hibrid secara tidak langsung dapat membantu negara dalam memajukan lagi bidang EV serta TVET dengan lebih baik,” katanya.