Oleh Hawa Omar

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah meluluskan penamaan bagi semua bangunan kafeteria di kampus induk Parit Raja dan kampus cawangan Pagoh, menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Ruang Universiti (JKPRU).

Penamaan sembilan bangunan kafeteria itu adalah misi serampang dua mata untuk memberi suatu jenama baharu yang memperlihatkan keseragaman dari segi tema penamaan bangunan kafeteria, dan membawa imej yang lebih ‘segar’ kepada kafeteria di dalam kampus.

Setiap nama bangunan kafeteria akan dimulai dengan ‘Arked’ yang bermaksud laluan berbumbung atau bertutup dengan kedai-kedai kecil seperti pasar mini atau kedai alat tulis yang berkongsi dalam sebuah bangunan.

Sebutan ‘Arked’ akan disusuli dengan nama bunga, dengan justifikasi bahawa pemilihan nama bunga itu adalah bagi mengaitkan ciri-ciri baik dan positif sama seperti yang ada pada bunga dengan aspirasi dan jangkaan terhadap perkhidmatan serta pengurusan kafeteria, khususnya dari aspek kesucian makanan dan kebersihan.

Ini adalah bersesuaian dengan hasrat agar kafeteria UTHM hendaklah sentiasa dalam keadaan yang bersih, selamat dan terkawal.

Selain itu, tema itu turut menawarkan banyak pilihan nama yang bersesuaian dan menarik. 

Menurut Pengarah Pusat Pembangunan Perniagaan (BizDeC), UTHM, Hawa Omar pemakaian nama tersebut akan diimplementasikan di semua kafeteria termasuk di kolej-kolej kediaman di kampus induk Parit Raja, kafeteria kampus cawangan Pagoh dan kafeteria Kolej Kediaman Pagoh.

Pemasangan papan tanda nama kafeteria di lokasi akan dibuat secara berperingkat oleh pihak BizDeC.

Dalam proses penentuan nama bunga, ciri-ciri dominan bunga tersebut adalah menjadi perencah penting dalam proses pemilihan.

Nama-nama bunga yang dipilih adalah yang mempunyai semua atau beberapa ciri-ciri berikut :                            

Berwarna putih atau kuning

Ciri-ciri warna sedemikian melambangkan kesucian, keelokan rupa dan kebersihan, sesuai dengan hasrat agar kafeteria UTHM hendaklah sentiasa dalam keadaan yang bersih, selamat dan terkawal. Warna putih juga adalah sinonim sebagai lambang kesucian. 

Aroma harum

Ciri-ciri bunga yang memiliki aroma harum amat disukai oleh semua orang kerana ia melambangkan kesegaran, kebersihan, perasaan yang lembut, nyaman dan tenang. Elemen begini sesuai dengan hasrat agar kafeteria Universiti menjadi satu lokasi yang santai dan segar dengan persekitaran yang menenangkan, pada masa yang sama menyediakan menu yang berkualiti.

Berkhasiat

Kebanyakan bunga yang berwarna putih, kuning serta harum ini mempunyai kelebihan dan khasiat yang boleh memberi manfaat tertentu, antaranya menjadi ramuan/bahan untuk menghasilkan pewangi, produk kosmetik dan minyak untuk aeromaterapi. Selain itu, ia juga menjadi bahan bagi merawat dan meredakan penyakit dan menjadi haruman untuk minuman seperti teh. Khasiat daripada bunga ini secara tidak langsung membawa imej serta persepsi yang baik kepada pengguna jenama tersebut.

Mudah disebut dan diingati

Ciri-ciri nama bunga yang mudah disebut serta senang diingati secara tidak langsung akan menjadi trademark kepada sesebuah kafeteria. Sementelah, nama-nama yang dipilih ini adalah spesis bunga yang senang ditemui dan popular dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Pihak kami berharap agar semua pengusaha kafeteria di UTHM menyahut ‘semangat’ penamaan bangunan kafeteria ini dengan anjakan paradigma untuk memastikan kafeteria di universiti sentiasa berada dalam kondisi terbaik.

“Pemilihan tema tersebut juga secara simboliknya akan memacu pengurusan dan perkhidmatan kafeteria-kafeteria UTHM ke arah yang lebih positif, sesuai dengan imej dan ciri-ciri jenama bunga yang dibawa.

 

Sembilan bangunan kafeteria yang berkenaan adalah:

  1. ARKED BUNGA RAYA, Kafeteria Perpustakaan Tunku Tun Aminah
  2. ARKED TANJUNG, Kafeteria Bangunan Gunasama Hal Ehwal Pelajar
  3. ARKED MELATI, Kafeteria ARKED
  4. ARKED CEMPAKA, Kafeteria Kompleks G3
  5. ARKED MELUR, Kafeteria Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail
  6. ARKED KENANGA, Kafeteria Kolej Kediaman Tun Fatimah
  7. ARKED MATAHARI, Kafeteria Kolej Kediaman Tun Syed Nasir
  8. ARKED MAWAR, Kafeteria Kampus Pagoh
  9. ARKED ANGGERIK, Kafeteria Kolej Kediaman Pagoh