BATU PAHAT – Sekretariat Rukun Negara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) atau singkatannya SRN UTHM berjaya meraih 13 anugerah ketika berlangsungnya Majlis Anugerah Inspirasi Mahasiswa (AIM) pada 24 November 2023 lalu bertempat di Hotel Katerina, Batu Pahat.
Kejayaan tersebut sekali gus melayakkan SRN UTHM meraih anugerah Kelab Terbaik UTHM bagi tahun 2023.
Antara anugerah yang diterima adalah Program Terbaik Patriotik dan Kenegaraan, Program Terbaik Akademik dan Wacana Intelek serta Program Terbaik Kampus Lestari.
Majlis anugerah anjuran Pusat Pembangunan Pelajar, UTHM itu diadakan bagi menghargai penganjuran pelbagai program oleh kelab pelajar serta mengiktiraf pemimpin yang terbaik dalam kalangan pelajar.
Program yang disempurnakan oleh Datuk Md Jais Haji Sarday, Ahli Lembaga Pengarah UTHM tersebut menyaksikan lebih 200 pencalonan turut serta untuk merebut 33 anugerah yang dipertandingkan.
Penasihat SRN UTHM, Farah Deena Md Rapee berkata pihaknya amat berterima kasih kepada semua rakan kerjasama strategik khususnya Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional atas segala sumbangan dan kerjasama yang diberikan.
“Pencapaian terbaik ini adalah hasil kerjasama dan komitmen seluruh ahli SRN UTHM dengan sokongan pelbagai pihak termasuklah pihak pengurusan tertinggi universiti, Pejabat Hal Ehwal Pelajar serta rakan kerjasama strategik,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi SRN UTHM, Afiq Robani pula berkata pengiktirafan tersebut telah menaikkan lagi semangat mereka untuk terus memberi yang terbaik.
“Saya berharap SRN UTHM akan terus melakar kejayaan pada masa hadapan serta mampu menjadi inspirasi kepada rakan-rakan pelajar UTHM,” katanya.