Oleh Rafidah Samsualdin, Suriayati Baharom
BATU PAHAT – Festival Konvokesyen 2023 (FESTKON’23), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diadakan di Padang Kawad, kampus induk bermula pada 1 hingga 10 Disember ini menjadi acara wajib yang bakal menarik lebih 60 ribu pengunjung ke kampus.
Penganjuran festival yang bertemakan “Universiti Memperkasa Perpaduan Insani” itu dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTHM dengan kerjasama Koperasi Siswa UTHM (KOSISWA), selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam agenda pemerkasaan mahasiswa yang inginkan penglibatan para pelajar dalam pengurusan.
Pengerusi Jawatankuasa FESTKON’23, Haszrinaz Husain@Hashim yang juga Pengarah Pejabat Hal Ehwal Pelajar, UTHM berkata FESKON’23 merupakan latihan secara langsung kepada pelajar untuk kekal aktif di dalam atau luar bilik kuliah.
“Ia juga sebagai platform mengasah kepimpinan pelajar dengan jati diri yang mantap dan berkemahiran kendiri yang tinggi.
“Seramai 850 orang pelajar terlibat secara langsung dalam pengendalian FESTKON23 ini dan mereka dipantau sepenuhnya oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar,” jelas beliau.
Tambah beliau FESKON’23 juga diadakan bagi menarik masyarakat setempat berkunjung ke UTHM selain sebagai usaha merapatkan hubungan antara universiti dan komuniti serta endah antara satu sama lain melalui penganjuran aktiviti-aktiviti yang bermanfaat.
Festival ini dimeriahkan dengan 220 lot gerai terdiri daripada pelbagai variasi jualan dan pengisian program anjuran kelab-kelab pelajar.
Pelbagai aktiviti menarik bakal menanti pengunjung sepanjang 10 hari festival berlangsung antaranya persembahan artis-artis terkenal tanah air, pameran daripada kelab dan agensi, pelbagai pertandingan seperti acara sukan, kebudayaan, mewarna, fotografi, nasyid, memasak dan dekorasi makanan, auto-show serta program kerohanian seperti UTHM Berselawat dan Pencetus Ummah.
Tambah Haszrinaz, kesemua acara dan program yang dianjurkan melibatkan beberapa golongan sasaran seperti komuniti tempatan dan antarabangsa, industri, kanak-kanak, pelajar sekolah dan juga universiti.
Sementara itu, Majlis Perasmian FESTKON’23 yang diadakan pada 2 Disember 2023 disempurnakan oleh ADUN Kawasan Parit Raja, YB Nor Rashidah Ramli bertempat di Pentas Padang Kawad UTHM.
Hadir sama, Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Pegawai-pegawai Kanan Universiti, wakil dari agensi kerajaan dan swasta serta Majlis Perwakilan Pelajar UTHM.
Turut berlangsung Pelancaran Tabung Palestin UTHM Prihatin serta persembahan artis jemputan.