Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) telah mengubah cara masyarakat berinteraksi dengan teknologi, bekerja, dan menjalani kehidupan seharian. Ia membawa cabaran yang signifikan kepada masyarakat global. Kemunculan teknologi digital seperti kecerdasan buatan (AI), Internet kebendaan dan pemprosesan data raya telah mempengaruhi hampir semua sektor ekonomi. Walaupun IR4.0 membawa manfaat yang positif untuk meningkatkan produktiviti dan efisiensi, ia juga menimbulkan cabaran dan ancaman kepada masyarakat. Masyarakat perlu melihat IR4.0 juga dari sudut yang positif sebagai peluang untuk meningkatkan dan memperkasakan pengetahuan, kemahiran dan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat. Sebelum ini tumpuan hanya diberikan kepada IR4.0 atau lebih tertumpu kepada teknologi. Namun demikian, negara juga perlu mempersiapkan masyarakat untuk menghadapi cabaran arus perubahan ini. Kejayaan IR4.0 dan Masyarakat 5.0 perlu seiring agar pembangunan yang holistik dapat dicapai dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat keseluruhan.
Cabaran IR4.0
Salah satu cabaran utama dalam era IR4.0 adalah perubahan pesat dalam teknologi dan cara masyarakat berinteraksi dengan teknologi tersebut. Teknologi telah mengubah landskap pekerjaan, dengan automasi dan AI telah menggantikan pekerjaan manusia dalam banyak sektor industri. Banyak pekerjaan yang dulunya dijalankan oleh manusia kini digantikan oleh mesin dan AI. Ini menyebabkan ramai pekerja kehilangan pekerjaan kerana mereka tidak lagi relevan dalam pasaran tenaga kerja yang berubah. Dianggarkan 800 juta pekerja global kehilangan pekerjaan pada 2030 dan digantikan automasi dan robotik. Menurut Kementerian Sumber Manusia, dianggarkan lebih 4.5 juta pekerja di negara ini berisiko hilang pekerjaan menjelang 2030 akibat ancaman teknologi baharu. 30 hingga 35 peratus iaitu 1.4 juta pekerjaan baharu membabitkan sektor pekerjaan seperti Penganalisis Data Raya, Penganalisis Data Perniagaan, Jurutera Data dan beberapa pekerjaan baharu lain akan diwujudkan.
Selain daripada kehilangan pekerjaan, cabaran yang lain adalah keselamatan data dan privasi. Dengan pertumbuhan penggunaan teknologi yang berkaitan dengan data, seperti Internet kebendaan (IoT) dan pemprosesan awan, isu-isu privasi dan keselamatan data menjadi kritikal. Menurut data, kes purata tahunan penipuan pembelian dalam talian atau e-dagang hampir mencecah 10,000 kes dengan jumlah kerugian meningkat setiap tahun. Sepanjang 2021, sejumlah 9,449 kes penipuan e-dagang dengan kerugian RM73 juta dicatatkan manakala pada 2022 sebanyak 9,258 kes dicatat dengan kerugian RM140 juta.
Cabaran lain yang berkaitan dengan teknologi IR 4.0 adalah ketidaksetaraan dalam akses kepada teknologi baharu. Terdapat kumpulan masyarakat masih belum mempunyai akses kepada teknologi yang ditawarkan. Ini mencipta jurang digital yang meningkatkan kesenjangan sosial. Jurang digital berlaku apabila terdapat kekurangan infrastruktur, capaian internet yang lemah dan kekurangan kesedaran digital. Contohnya, dalam kes pembayaran tanpa tunai, pengguna memerlukan telefon pintar yang menyokong aplikasi pembayaran elektronik, capaian internet yang baik dan pengetahuan teknologi digital untuk bertransaksi. Oleh itu, transformasi ke arah Masyarakat 5.0 sangat diperlukan untuk menghadapi cabaran IR4.0
Masyarakat 5.0
Masyarakat 5.0 adalah konsep yang pertama kali diperkenalkan oleh negara Jepun dan merangkumi integrasi teknologi dalam kehidupan. Ini melibatkan penggunaan teknologi seperti AI, pemrosesan awan, Internet kebendaan, robotik, cetakan 3D dan teknologi terkini untuk mencipta nilai tambah dan efisiensi yang lebih tinggi dalam berbagai aspek kehidupan seharian. Masyarakat 5.0 juga menggabungkan dunia maya dengan dunia fizikal, mencipta apa yang disebut sebagai “mesin yang berjiwa,” yang menggabungkan teknologi dan kebijaksanaan manusia. Dalam konteks IR4.0, transformasi ke arah Masyarakat 5.0 memainkan peranan penting dalam menghadapi cabaran teknologi yang semakin berkembang.
Walaupun terdapat cabaran yang besar dalam menghadapi teknologi IR 4.0, Masyarakat perlu mampu mengurus teknologi dalam kehidupan harian untuk meningkatkan aspek kehidupan mereka. Sebagai contoh, dalam perkhidmatan kesihatan, teknologi IR 4.0 membolehkan diagnosis dan rawatan penyakit dapat dibuat dengan dengan bantuan AI. Dalam perindustrian, teknologi ini membawa kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan dalam proses pengeluaran. Dalam pendidikan, pembelajaran berdasarkan minat dan keperluan individu membolehkan pelajar memilih subjek dan bidang yang mereka minati.
Pembelajaran berterusan dan peningkatan kemahiran
IR4.0 ini menawarkan potensi profesion pekerjaan baharu khususnya berkaitan dengan data raya, blockchain dan kepakaran berasaskan AI atau pembelajaran mesin. Untuk menghadapi cabaran teknologi era IR 4.0, masyarakat perlu mengambil langkah proaktif dalam mempersiapkan diri mereka. Masyarakat perlu memahami dan menerima hakikat bahawa teknologi akan terus berkembang dan berubah. Pembelajaran berterusan dan peningkatan kemahiran adalah penting untuk beradaptasi dengan perubahan ini. Pendidikan dan latihan berterusan adalah penting untuk memastikan bahawa pekerja mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk menjalani pekerjaan masa depan.
Akses kepada teknologi
Selain itu, kerajaan perlu berusaha untuk memastikan bahawa teknologi dan peluang yang ditawarkannya tersedia untuk semua individu, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi. Ini melibatkan usaha untuk memastikan akses kepada teknologi yang sama untuk semua lapisan masyarakat, serta penekanan dalam pendidikan dan latihan untuk memastikan bahawa semua individu mempunyai peluang untuk akses kepada teknologi tersebut.
Kesedaran keselamatan siber
Masyarakat perlu ada kesedaran keselamatan siber dan mengamalkannya dalam penggunaan teknologi. Mereka perlu memahami undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan privasi dan data, serta memastikan bahawa data peribadi dilindungi.
Etika dan nilai-nilai manusia
Selain itu, masyarakat perlu mengintegrasikan teknologi dengan etika dan nilai-nilai manusia. Ia menekankan keperluan untuk memahami kesan teknologi terhadap aspek sosial, psikologi dan etika. Di dalam konteks perniagaan, organisasi perlu mengambil kira etika dalam penggunaan teknologi, keselamatan data dan tanggungjawab sosial korporat. Ini membantu masyarakat untuk mengekalkan nilai-nilai manusia dalam dunia teknologi digital.
Pertumbuhan ekonomi dan inovasi
Masyarakat perlu kreatif dan berinovasi untuk pertumbuhan ekonomi. Dengan integrasi teknologi yang baharu dalam pelbagai sektor industri, pertumbuhan ekonomi akan dapat ditingkatkan. Sektor berasaskan Industri 4.0 seperti kesihatan pintar dan pertanian pintar telah membuka peluang untuk penciptaan pekerjaan baharu dan peningkatan produktiviti. Inovasi teknologi juga dapat digunakan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat, seperti isu-isu perubahan iklim dan kekurangan sumber alam.
Penyertaan masyarakat
Keperluan untuk kerjasama dan penyertaan masyarakat dalam pembangunan teknologi dan pembentukan dasar-dasar yang beretika juga sangat penting. Model pembangunan perlu mengambil kira pandangan dari pelbagai pihak, termasuk masyarakat awam dan sektor swasta. Ini melibatkan proses yang berterusan dalam mendengar pandangan masyarakat, berunding dengan pihak berkepentingan, dan mengambil tindakan berdasarkan kepentingan awam.
Kesedaran dan pemahaman teknologi
Selain itu, kerajaan perlu meningkatkan kesedaran dan pemahaman teknologi dalam masyarakat. Ini boleh dilakukan melalui pendidikan awam dan kempen kesedaran. Dengan kesedaran teknologi, kesannya dan cara memanfaatkannya dengan bijak, teknologi dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kebaikan masyarakat.
Secara keseluruhannya, transformasi ke arah Masyarakat 5.0 adalah pendekatan yang proaktif dalam menghadapi cabaran teknologi dalam era IR4.0. Ia mendorong pendidikan, integrasi teknologi dengan etika dan nilai-nilai manusia, pertumbuhan ekonomi dan inovasi, kerjasama masyarakat dan kesedaran teknologi. Dengan pendekatan ini, masyarakat dapat menghadapi cabaran teknologi dan menjadikannya sebagai peluang untuk pembangunan dan kemajuan negara. Melalui pendidikan dan kesedaran, pengunaan teknologi dapat digunakan secara optimum untuk kebaikan masyarakat dan mencapai Masyarakat 5.0 yang lebih progresif dan berdaya saing.
Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad
Pensyarah dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Berita ini juga diterbitkan di:
1. Utusan Malaysia (muka surat: 19). 1 November 2023: Kena tiru Jepun jadi Masyarakat 5.0
2. Utusan (utusan.com.my), 1 November 2023: Kena tiru Jepun jadi Masyarakat 5.0
https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2023/11/kena-tiru-jepun-jadi-masyarakat-5-0/