Konflik Palestin-Israel yang sedang berlaku di Gaza dan Tebing Barat telah bermula sejak 75 tahun yang lalu. Ratusan ribu manusia yang tidak bersalah dan berdosa telah menjadi mangsa keganasan puak Zionis laknatullahu. Berdasarkan laporan dari Sinar Harian 29 Oktober 2023 yang lalu, jumlah kematian penduduk Palestin telah mencecah angka hampir 8000 orang dan angka tersebut terus meningkat. Manakalah angka kematian anak kecil dan kanak-kanak yang tidak berdosa meningkat sehingga lebih 3300 orang. Bilangan ini menunjukan betapa kejam dan zalim kejahatan dan jenayah yang telah dilakukan oleh Isreal Zionist yang tidak ada perikemanusian. Tambahan lagi sumber berita terkini mengatakan bahawa pemimpin penjajah yang zalim, Benjamin Netanyahu mengesahkan mereka tidak akan membuat gencatan senjata selagi mana Hamas tidak berhenti menyerang.

Berdasarkan pandangan beberapa penganalisa konflik Palestine-Israel, Hamas telah memulakan serangan mengejut ke atas Zionis Israel pada 7 Oktober lalu kerana mempunyai sebab-sebab tertentu iaitu pertamanya mereka ingin membalas dendam ke atas kekejaman mereka membunuh lebih 200 rakyat Palestin pada tahun ini sahaja (sebelum 7 Oktober) dan keduanya adalah menentang agenda Normalisasi penjajah Isreal. Pandangan ini jelas kerana sebelum ini ada beberapa negara Arab seperti Morocco, Emiriah Arab Bersatu (UEA) dan Sudan telah pun mengadakan hubungan Normalisasi iaitu dengan mengadakan hubungan baik dengan negara haram Israel. Ini menandakan bahawa negara haram mereka mula diterima oleh negara-negara Islam. Manakala sebelum ini kita juga mendengar bahawa kerajaan Arab Saudi juga telah beberapa kali berjumpa dengan pemimpin Israel tersebut bertujuan untuk menjayakan agenda licik itu.

Apa yang lebih mengejutkan kita lagi adalah Presiden kerajaan Turkiye Racip Tayyip Erdorgan yang kuat membela Islam tiba-tiba terlihat duduk bersama di meja rundingan bersama Netanhayu sewaktu pertemuan mereka di Persidangan UN, PBB di New York pada September yang lepas. Kemungkinan hal ini dilihat akan memberi kesan dan tanggapan buruk terhadap negara-negara Islam yang mula mengiktiraf negara haram itu dan memberi ancaman kepada agama Islam secara umumnya. Kemungkinan serangan tersebut bertujuan untuk menutup pintu-pintu peluang tersebut dan ternyata Arab Saudi telahpun menangguhkan dahulu agenda itu dan turut meranapkan harapan puak Zionis Israel untuk bekerjasama dengan Turkiye.

Namun kita sebagai umat Islam, kita mangganggap apa yang sedang berlaku ini adalah satu musibah dan ujian kepada kita semua. Palestin adalah negara kita bersama kerana di sana ramai para nabi dan rasul telah diutuskan. Selain itu, rakyat Palestin juga adalah saudara seislam kita dan kita mesti turut membela mereka. Mereka telah memperjuangkan hak mereka sekian lama tapi masih lagi dinafikan. Kita mesti mengutuk keras kekejaman dan jenayah yang dilakukan oleh Zionis Israel ini yang mana mereka sanggup melanggar undang-undang perang sehingga membunuh kanak-kanak dan orang yang tidak upaya.

 Apakah peranan kita rakyat Malaysia selain “berperang saraf” di media sosial mengutuk dan membantah kekejaman Zionis Israel ke atas rakyat Palestin terutama di Gaza? Sebagai seorang Mukmin yang tidak mampu dari segala segi, kita mestilah menggunakan “senjata” kita iaitu doa kerana ia adalah satu-satunya senjata kita yang paling hebat. Sejak bermulanya konflik ini, setiap hari dalam setiap solat fardu kita sentiasa membaca Qunut Nazilah tanpa henti. Soalan saya apakah itu Qunut Nazilah dan adakah kita benar-benar faham maknanya?

Qunut Nazilah adalah perkataan bahasa Arab dan terdiri daripada perkataan qunut dan nazilah. Qunut mempunyai beberapa maksud; pertama ialah taat dan kedua pula ialah solat; yakni doa. Manakala perkataan nazilah pula bermaksud musibah. Maka daripada makna ini Qunut Nazilah itu bermaksud doa yang dibaca ketika kita ditimpa musibah dan ujian. Berdasarkan sirah Nabi SAW, baginda juga pernah membaca doa Qunut Nazilah ketika mana berlakunya suatu pengkhianatan dan pembunuhan ke atas beberapa sahabat baginda, lalu baginda mengamalkannya selama sebulan. Contohnya seperti dalam riwayat Bukhari dari Anas bin Malik r.a, katanya: “ Ri’lan, Zakwan, Usaiyah dan puak Lahyan meminta bantuan daripada Nabi SAW untuk menyediakan kepada mereka beberapa orang lelaki untuk memerangi musuh mereka. Maka Baginda SAW menghantarkan kepada mereka tujuh puluh orang lelaki dari golongan Ansar yang dikenali sebagai al-Qura’ (penghafaz al-Quran). Maka mereka ini membantu untuk mengumpul kayu api pada siang, dan bermunajat kepada Allah pada waktu malam. Ketika mana mereka (golongan Ansar) sedang berada di lembah Ma’una, mereka dibunuh dan dikhianati. Apabila berita ini sampai kepada Rasulullah, baginda membaca qunut (nazilah) selama sebulan dalam solat subuh mendoakan (kecelakaan) ke atas puak arab, Ri’lan, Zakwan, Usaiyah dan puak Lahyan”.

Begitu juga Saidini Umar al-Khattab r.a, beliau juga mengamalkannya di dalam solat ketika mana sedang memerangi puak nasrani ahli kitab dan Musailamah al-Kazzab. Dalam hal yang sama, Imam Nawawi juga ada mengatakan bahawa sekiranya orang Islam ditimpa musibah seperti ketakutan, kebuluran, wabak dan (serangan) belalang, maka dibacakan qunut pada semua solat, namun jika tiada musibah, maka tidak perlu membaca qunut.

Jika kita perhatikan, terdapat banyak hadis menjelaskan tentang waktu dan masa untuk membaca Qunut Nazilah ini. Secara kesimpulannya kita diharuskan dan disyariatkan untuk mengamalkan qunut nazilah pada setiap solat fardu. Dan mengamalkannya secara konsisten selama sebulan sepertimana amalan Nabi SAW. Ada ulamak juga mengharuskan bacaannya dalam solat-solat sunat yang lain seperti pendapat Imam asy-Syafie. Beliau di dalam kitab al-Umm menyatakan bahawa sekiranya ditimpa musibah boleh membaca Qunut Nazilah pada waktu yang dilarang membaca qunut. Ini berdasarkan pendapat beliau: Tidak ada qunut ketika solat dua hari raya dan solat Istisqa’. Sekiranya membaca qunut ketika musibah, aku tidak memakruhkan”.

Selain itu, versi bacaan Qunut Nazilah sangat banyak sekali memandangkan ia adalah doa dalam bahasa Arab. Ada yang pendek dan ada yang panjang seperti bacaan Saidina Umar r.a ketika memerangi ahli kitab, beliau membaca doa Qunut Nazilah yang panjang. Namun kita sebagai orang awam cukuplah dengan bacaan yang kita selalu amalkan selama ini. Persoalannya sekarang adakah kita memahami setiap perkataan yang dibaca oleh para imam? Jom kita sama-sama fahami makna Qunut Nazilah yang kita amalkan selama ini. Semoga doa kita dimakbulkan dan kemenangan segera buat seluruh umat Islam terutamanya di bumi Gaza, Palestin:

 

 

Allahumma naj’aluka fii nuhuuri ‘adaaina

Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami

Wa na’uuzubika min shuruurihim

dan kami berlindung denganmu dari kejahatan mereka

allahumma baddid shamlahum

Ya Allah hancurkan kumpulan mereka

Wa farriq jam’ahum

dan pecahkan pakatan mereka

wa shattit kalimatahum

dan leburkan pendirian (kata-kata) mereka

wa zalzil aqdaamahum

dan musnahkan langkah mereka

Wa sallit ‘alaihim kalban min kilaabik

Cengkamkan anjing-anjingmu kepada mereka

Ya qohhaar

 Ya Allah yang maha memaksa

Ya jabbaar

Ya Allah yang maha perkasa

Ya muntaqimu

Ya Allah yang maha membalas

Ya Allaahu ya Allaahu ya Allaah

Ya Allahu, ya Allahu, ya Allah

Allaahu ya munzilal kitaab

Ya Allah Yang turunkan kitab,

Wa ya mujriyas sahaab

dan yang menggerakkan awan,

wa ya haazimal ‘ahzaab

dan yang menewaskan tentera Ahzab

ihzimhum, ihzimhum, ihzimhum

Kalahkan mereka, Kalahkan mereka, kalahkan mereka,

Fansurna ‘alaihim

Dan menangkanlah kami ke atas mereka.

 

 

 

Abdul Hadi Abd Aziz

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)