JOHOR BAHRU, 22 Nov 2023 – Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim telah dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (D.M.I.J.) oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, yang membawa gelaran Dato’.

Majlis pengurniaan darjah yang berlangsung di Bilik Singgahsana, Istana Besar Johor Bahru adalah bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Tuanku Sultan yang ke-65 pada hari ini.

Berangkat sama, DYMM Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah.

Turut berangkat, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, YAM Che’ Puan Besar Khaleeda dan

DYAM Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim Ibni Tunku Ismail, Raja Muda Johor.

YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.

YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim dan suami, Dato’ Dennis Muhammad Abdullah serta Keluarga Diraja Johor.

Turut dikurniakan DIMJ, Tuan Haji Ismail Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), YAA Tuan Haji Muhammad Khaldun Mohamad Sharif, Ketua Hakim Syariah Johor dan CP Datuk Kamarul Zaman Mamat, Ketua Polis Johor.