Oleh Ts. Gs. Dr. Kamarul Rahim Kamarudin
PAGOH, 30 Okt 2023 – Seramai 35 pelajar Sarjana Muda Sains (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) dengan Kepujian dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menamatkan kursus SDI Open Water Diver di bawah program Program Dana Penjana Kementerian Pengajian Tinggi – Persijilan Profesional (KPT-PACE) – Pentauliahan Penyelam Skuba Air Terbuka Scuba Diving International.
Menurut penyelaras program, Ts. Gs. Dr. Kamarul Rahim Kamarudin yang dalam masa yang sama turut lulus kursus SDI Advanced Adventure Diver, program KPT-PACE tersebut telah diadakan sebanyak dua sesi iaitu sesi teori pada 13 Oktober 2023 bertempat di UTHM Kampus Cawangan Pagoh dan seterusnya sesi amali 17-28 Oktober 2023 di Kampung Salang, Pulau Tioman, Pahang.
Program KPT-PACE tersebut dilaksanakan bagi menyahut hasrat KPT dalam meningkatkan kadar peratusan kebolehpasaran graduan di peringkat universiti khususnya dan di peringkat kebangsaan amnya.
Tambah Dr. Kamarul, Kursus Penyelam Skuba Air Terbuka Scuba Diving International atau SDI Open Water Diver itu merupakan kursus kompetensi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Bagi calon yang mengambil dan lulus penilaian yang ditetapkan bagi kursus tersebut serta memenuhi syarat, calon akan dianugerahkan lesen seumur hidup Open Water Diver oleh badan antarabangsa Scuba Diving International (SDI), yang seterusnya memberi nilai tambah pada kemahiran kebolehpasaran pelajar.
“Sesi amali yang diadakan melibatkan tiga kumpulan peserta di bawah bimbingan Mohamad Hussain Hj Mohamad Rashid yang merupakan Professional SDI Scuba Dive Instructor dengan dibantu oleh Harith Haziq Mohamad Hussain, Harith Izzuddin serta penyelam-penyelam bertauliah lain dari Meet Uncle Hussain Scuba Diving School.
“Dua orang pensyarah UTHM iaitu Ir. Ts. Dr. Mohd Hanif Ismail merangkap SDI Rescue Diver dan Ir. Dr. Muhammad Nizam Zakaria juga turut terlibat membantu perjalanan sesi amali tersebut,” jelas beliau.
Secara keseluruhannya, program tersebut berjaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan iaitu 50 peserta telah lulus dengan baik termasuklah 15 peserta dari Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail.
“Program kerjasama seperti ini diharap dapat diteruskan lagi pada masa hadapan bagi membantu KPT dan UTHM mencapai objektif, visi dan misinya terutama berkaitan ‘UTHM EDU-TRAIN’ yang bertujuan membangun graduan kompeten, profesional dan entrepreneurial dan juga Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025,” katanya.